Skip to main content

MPNP, UMP anjur Wacana Pekerja Harmoni, Ekonomi Lestari

KUANTAN, 6 Julai 2023 - Majlis Pekerja Negeri Pahang (MPNP) dengan kolaborasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menarik lebih 100 penyertaan yang terdiri daripada jabatan, agensi, Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), institut pengajian tinggi (IPT) dan pemain industri di negeri Pahang Darul Makmur dalam penganjuran program Wacana Pekerja Harmoni, Ekonomi Lestari.

Program yang diadakan di Swiss-Belhotel, Kuantan itu telah membariskan ahli-ahli panel yang terdiri daripada Pegawai Pelaburan dan Perniagaan Negeri Pahang, Dato’ Kamarul ’Arifin Ahmad@Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tanah Makmur Berhad, Dato’ Shahrul Nizam Abdul Aziz, Pengarah PERKESO Pahang, Hisham Abdul Rahman dan Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Dr. Mohd Hanafiah Ahmad.

MPNP, UMP anjur Wacana Pekerja Harmoni, Ekonomi Lestari

Manakala Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa UMP, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir bertindak sebagai moderator.

Menurut Dr. Mohd Hanafiah, penganjuran program ini sebagai salah satu medium kepada pihak Kerajaan Negeri Pahang dalam mendapatkan input dan mengenal pasti inisiatif yang dapat dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan tenaga kerja di taman-taman industri negeri ini.

“Antara yang dibincangkan termasuklah ketidaksepadanan pekerjaan, kekurangan tenaga kerja mahir, kesediaan tenaga kerja dalam mendepani cabaran revolusi industri 4.0 dan lain-lain yang melibatkan isu tenaga kerja di Pahang.

“Perkara ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam usaha untuk mewujudkan satu ekosistem pelaburan yang kondusif dan mengikuti pengembangan industri huluan (upstream) dan hiliran (downstream) di negeri Pahang,” katanya. 

Bagi menyokong pembangunan Pelan Strategik MPNP ini, dua sesi bersama agensi, syarikat, institusi pendidikan dan juga penyedia latihan telah berjaya diadakan dengan objektif untuk mendapatkan data primer dan maklumat di lapangan oleh pihak terlibat.

Perbincangan kumpulan berfokus juga telah diadakan pada 11 Mei 2023 bersama agensi dan institusi pendidikan, manakala sesi perbincangan meja bulat pula telah berjaya dilaksanakan pada 28 sehingga 30 Mei 2023 bersama pihak industri.

Lanjutan daripada itu, program wacana ini diadakan bertujuan mewujudkan sesi dialog dua hala di antara panel dan pemegang taruh dan memperkukuhkan Pembangunan Rangka Tindakan dan Pelan Strategik MPNP.

MPNP, UMP anjur Wacana Pekerja Harmoni, Ekonomi Lestari

Dalam pada itu, MPNP juga akan mengkaji dasar-dasar berkaitan dengan penetapan hala tuju strategik, mengupayakan kemahiran dan bakat, memperkasakan modal insan dan mewujudkan serta memperkukuhkan jalinan kerjasama di antara kerajaan negeri dan pemegang taruh seiring dengan hasrat negeri Pahang dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pencari kerja.

Program itu juga turut mengenal pasti beberapa isu yang berkaitan tenaga kerja di Negeri Pahang seperti ketidaksepadanan pekerjaan, kekurangan tenaga kerja mahir, kecenderungan terhadap ekonomi gig, masalah komunikasi dalam kalangan graduan dan lain-lain isu yang boleh membantu isu tenaga kerja di negeri ini.

Disediakan oleh: Dr. Muhammad Ashraf Fauri@Fauzi, Fakulti Pengurusan Industri

Reports by:
Admin UMP News