Skip to main content

PIMPIN bakal lahirkan penulis prolifik

Kuantan, 28 September 2020 – Sebagai meningkatkan kemahiran dalam bidang penulisan dan penerbitan serta melahirkan lebih ramai penulis, buat julung kalinya Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Buku. 

Program dua hari itu diadakan di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan yang melibatkan seramai 11 orang staf UMP yang berkhidmat di PIMPIN.

Bengkel itu bertujuan untuk mendedahkan teknik-teknik penulisan dalam menghasilkan artikel yang prolifik iaitu banyak menghasilkan karya dan tulisan yang berkualiti, berkaliber dan berwibawa. 

Selain itu, ia dapat meningkatkan pengetahuan dalam penerbitan buku dan bahan terbitan ilmiah yang berkaitan di PIMPIN.

Bagi mencapai objektif program ini, semua staf PIMPIN diberikan tugasan di dalam kumpulan dan diminta untuk menulis berita program-program yang telah dianjurkan. 

Dalam pada itu, penulisan ini juga dapat membantu staf di jabatan ini meningkatkan kemahiran untuk menyediakan kertas kerja program mengikut format yang disediakan.
Hadir merasmikan program adalah Pengarah PIMPIN, Dr. Rashidi Abbas dan penceramah jemputan pula ialah Eksekutif Kanan, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor, Mimi Rabita Abdul Wahit dengan tajuk ‘Teknik Menulis Artikel dan Berita Kreatif’.

Dalam ucapannya, Dr. Rashidi berkata, program ini turut menjemput Pegawai Penerbitan Kanan Pejabat SUARA UMP, Muhammad Azli Shukri membicangkan tajuk ‘Proses Penerbitan Buku Ilmiah PIMPIN’ dan Timbalan Dekan Penyelidikan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Profesor Madya Dr. Jamal Rizal Razali membicarakan tentang tajuk ‘Kuasai Asas dan Proses Penyuntingan Buku Ilmiah.’

“Saya berharap semua staf PIMPIN dapat mengasah bakat dan menghasilkan artikel dan bahan penulisan yang berkualiti. 

“Pusat ini banyak menganjurkan program pembangunan rohani dan motivasi yang boleh dikongsikan kepada orang ramai,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan. 

Beliau berharap staf PIMPIN dapat mengumpulkan bahan penulisan untuk diterbitkan sebagai rujukan umum yang dapat dimanfaatkan bersama.

Bagi peserta program, Nurul Fatihah Abd. Rahman berpandangan program ini dapat mendedahkan ilmu yang baharu buat mereka untuk belajar tentang teknik penulisan dan mengakui mulai meminati bidang penulisan ini. 

Program ini adalah sebahagian daripada usaha PIMPIN dalam mencapai pelan strategik UMP bagi menghasilkan lebih banyak bacaan ilmiah kepada warga UMP. 

Disediakan Oleh: Amira Abdullah, Pusat Islam dan Pembangunan Insan  

Reports by:
Admin UMP News