Skip to main content

Salur bantuan buat mahasiswa hasil daripada kutipan kompaun

Pekan, 21 Oktober 2020 - Bahagian Keselamatan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyerahkan sumbangan sebanyak RM1,956 hasil sebahagian daripada pembayaran kompaun dan denda akibat melanggar peraturan lalu lintas dan tatatertib jalan raya di  dalam kampus buat mahasiswa. 

Sumbangan ini dimanfaatkan mahasiswa menerusi sumbangan ke UMP Food Pantry sebagai membantu kebajikan mahasiswa yang berkeperluan di universiti ini.

Hasil sumbangan telah diserahkan oleh Ketua Bahagian Keselamatan UMP, Ahmad Fauzi Ahmad Bakti kepada Timbalan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar, Che Muhammad Harith Ab Halim. 

Hadir menyaksikan majlis adalah Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet UMP Kampus Gambang baru-baru ini.

Menurut Ahmad Fauzi, sumbangan ini merupakan hasil kutipan kompaun yang dikenakan kepada mahasiswa dan staf sejak Januari hingga September lalu dan pihaknya berhasrat akan melaksanakannya secara berkala mulai tahun ini.

“Bukan bermatlamat untuk mengejar jumlah kompaun yang dikenakan kepada warga UMP tetapi lebih kepada ingin mendidik dan memupuk warga UMP untuk mematuhi peraturan di jalan raya mahupun peraturan di dalam kawasan UMP. 

“Hasil sumbangan ini membolehkan pembelian makanan, minuman dan lain-lain keperluan lagi.

“Saya berharap warga UMP akan terus mematuhi peraturan yang telah ditetapkan manakala kompaun ini bukanlah satu hukuman tetapi satu pengajaran agar tidak mengulangi lagi,” katanya.

Bagi Che Muhammad Harith pula, pihaknya berterima kasih kepada Bahagian Keselamatan UMP atas sumbangan ini apatah lagi mengetahui ia merupakan hasil kutipan kompaun universiti.

“Selain itu juga dengan sumbangan ini dapat menambah sumber bantuan di UMP Food Pantry yang membekalkan sumber makanan dan keperluan kepada mahasiswa secara percuma. 

“Ia amat memberi manfaat kepada mahasiswa terutamanya daripada keluarga B40 yang berada di dalam kampus,” katanya. 
 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor (PNC)
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris