Skip to main content

UMP Prihatin Salur Bantuan Kepada Keluarga Warga

KUANTAN , 2 April – Prihatin dengan nasib kekuarga   warga kerja Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang memerlukan bantuan dan sebagai galakan menyuburkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga Universiti khususnya program berbentuk khidmat sosial, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) universiti ini menjayakan program MyFamily Charity Ride sempena berlangsungnya Karnival Mahabbah. 

Program yang merupakan inisiatif pihak PIMPIN di bawah projek MyFamily ini mendapat sumbangan warga Universiti dan orang perseorangan sejak diperkenalkan tiga bulan lalu. Sumbangan yang diserahkan berbentuk wang ringgit serta barangan keperluan harian seperti beras, tepung,susu,milo,sardin dan lain-lain barangan keperluan kepada  keluarga staf UMP yang di uji dengan dugaan hidup.

MyFamily Charity Ride kali ini disertai oleh 15 orang pelajar bermotosikal dan 7 orang kakitangan PIMPIN yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Sallehudin Md Derus selaku Pengarah Karnival Mahabbah 9.0 serta pensyarah Fakulti  Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan, Dr. Mohamed Nafis Osman Zahid.

Menurut Ustaz Muhammad Sallehudin fokus sumbangan kali terhadap warga kerja dan pelbagai program juga disediakan dalam usaha membantu pelajar dan keluarga asnaf sekitar kampus. Ini juga sebagai tanda ingatan dan prihatin warga UMP kepada golongan yang memerlukan.

“ Dalam menguruskan hal ini , kita mahu setiap sumbangan yang disalurkan oleh pelbagai pihak dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan dinikmati oleh penerima yang selayaknya” ujarnya.

Sementara itu, penerima sumbangan,  Rosida Abdullah,44 yang mempunyai 3 orang anak gembira dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan. Ianya pasti dapat meringankan beban keluarga yang ditanggung setelah kehilangan suami yang merupakan kakitangan di Bahagian Keselamatan UMP Pekan.

Penganjuran program MyFamily ini akan diteruskan pada masa hadapan dengan harapan lebih banyak lagi sumbangan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Kepada warga Universiti dan orang ramai yang ingin turut serta dalam program ini, sumbangan boleh disalurkan dengan meletakkan barangan keperluan asas atau menyumbang ke tabung “MyFamily”  di Masjid UMP Pekan dan UMP Gambang.

Disediakan Mohammad Hakimi Kamarudin dari Bahagian Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri