Skip to main content

UMP terima kunjungan dan sesi libat urus bersama BEM

PAYA BESAR, 13 Jun 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima kunjungan dan libat urus daripada Bahagian Education Malaysia (BEM), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) bagi mendapatkan perkembangan dan informasi berhubung pengurusan pelajar antarabangsa di universiti ini.

Kunjungan yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Education Malaysia (BEM), Dato’ Haji Shushilil Azam Shuib yang tiba di UMP Kampus Gambang disambut oleh Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa, Profesor Mohd Azmir Mohd Azhari dan Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim serta pengurusan universiti.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman turut menyampaikan ucapan alu-aluan secara dalam talian bagi mengalu-alukan kehadiran delegasi.

UMP terima kunjungan dan sesi libat urus bersama BEM

Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan kedatangan pihak BEM ke UMP bagi mengetahui perkembangan dan perancangan untuk pengurusan pelajar antarabangsa di UMP.

“Dalam sesi libat urus ini, UMP turut membentangkan tujuh kluster yang telah menjadi komponen utama sesi pemantauan membabitkan kluster pengurusan Pejabat Antarabangsa, Pemasaran Program Pengajian, Pengurusan Permohonan dan Penawaran Pengajian dan Pengurusan Permohonan VAL dan Pas Pelajar.

“Lain-lain kluster adalah Pengurusan Kebajikan Pelajar dan Tanggungan, Pengurusan Penamatan Pengajian Pelajar dan Pengurusan Alumni Pelajar Antarabangsa,” ujarnya.    

Selain itu, pertemuan ini turut mendapatkan maklum balas hasil laporan susulan kunjungan pihak BEM dan Education Malaysia Global Services (EMGS) pada tahun 2020 yang lalu.

Manakala Dato’ Haji Shushilil Azam pula berkata, sesi libat urus ini juga dapat meningkatkan hubungan kerjasama dan menyelaras isu-isu berkaitan pengurusan pelajar antarabangsa.

Menurutnya, pihaknya juga memerlukan maklumat berkaitan maklum balas yang telah diambil oleh pihak UMP terhadap hasil Program Libat Urus Terhadap Pengurusan Pelajar Antarabangsa di Universiti Awam 2019/2020.

Hadir sama Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Perancangan Pengantarabangsaan Erizman Soib, Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Koordinasi Pelajar Antarabangsa dan IPT, Khairul Anwar Samsudin dan Penolong Pengarah, Seksyen Kolaborasi dan Sekretariat Jawatankuasa Antarabangsa, Sasirecka a/p Latchimanan. 

Turut sama Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik (PPKA), Zainal Bahari dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan, Ts. Dr. Azri Alias.

Sehingga kini, UMP mempunyai seramai 534 pelajar antarabangsa daripada 27 negara yang antaranya daripada Yaman, Bangladesh, Iraq, Pakistan, India, Libya, Sudan, Indonesia, China dan Egypt. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris