Skip to main content

UMPSA lancar Kenderaan Elektrik Bebas Karbon Amalan Lestari

PUTRAJAYA, 23 Oktober 2023 - Selaras dengan Agenda Hijau Negara, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melancarkan penggunaan kenderaan eletrik dalam memanfaatkan teknologi dan inovasi untuk kebaikan masa hadapan dan generasi akan datang.

Pengaplikasian teknologi dan pengamalan gaya hidup lebih baik dapat dicapai melalui pengurangan jejak karbon yang bakal memberi penyelesaian inovasi kepada industri tenaga.

Menerusi inisiatif ini, dua buah bas elektrik dan dua buah van eletrik dengan stesen pengisian EV diperkenalkan di UMPSA bagi menggalakkan penggunaan karbon rendah serta kenderaan pintar yang cekap tenaga.

Berlangsung hari ini, acara penyerahan replika kunci kenderaan eletrik yang disampaikan Pengarah Go Automobile Manufacturing Sdn. Bhd., Wan Ahmad Wan Omar kepada Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dengan disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di pekarangan parkir Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersempena Hari Terbuka KPT.
 

UMPSA lancar Kenderaan Elektrik Bebas Karbon Amalan Lestari

Turut sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian.  

UMPSA melaksanakan Kempen Kelestarian bagi meningkatkan kesedaran warga untuk menjaga alam sekitar seiring bagi merealisasikan hasrat universiti ke arah Kampus Lestari.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, UMPSA kini telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam usaha memperkasakan amalan lestari melalui pelbagai program universiti yang dilaksanakan.

“Dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Kampus Lestari menerusi Petunjuk Prestasi Utama 5C (2), UMPSA telah berjaya mencapai sasaran kemajuan pembangunan kampus lestari sebanyak 86.8 peratus pada Suku Ketiga 2023, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 78 peratus.

“Ini menunjukkan komitmen UMPSA dalam membangunkan kampus yang lestari dan mampan.

“Justeru, Inisiatif Kampus Lestari akan dirancakkan lagi dengan pelbagai aktiviti seperti penanaman pokok, penjimatan tenaga dan sumber serta pengurangan karbon di dalam UMPSA.

“Inisiatif ini adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals,” katanya.

UMPSA lancar Kenderaan Elektrik Bebas Karbon Amalan Lestari

Dalam pada itu, terdapat lapan Kempen Inisiatif Kelestarian dilaksanakan iaitu Minum Air Kosong dan Bawa Botol Air Sendiri, Jom Tapau: Bawa Bekas Sendiri, Hijaukan Alam Sekitar, Hari Kitar Semula UMP: Mengurangkan Pembaziran, Satu Langkah Pada Satu Masa dan Gaya Hidup Sihat: Pilih Kesejahteraan Setiap Hari.

Inisiatif-inisiatif lain Pengasingan Sisa Organik: Pengkomposan untuk Masa Depan Lebih Hijau, Go Hijau: Tukar Sisa Anda Menjadi Sumber Mampan, Kenderaan Bebas Karbon: Amalan Lestari di Jalan Raya.

UMPSA tersenarai pada kedudukan ke-103 terbaik dunia dalam Penarafan UI-Green Metric World University Ranking 2022, berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau serta pengurusan alam sekitar.

Penarafan kelestarian lain termasuklah 2023 QS World University Rankings Sustainability (401- 450) dan 2023 Times Higher Education (THE) Impact Rankings (301-400).

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit