Skip to main content

UMPSA laksana Audit Validasi Program Kawal Selianya di Muscat College

OMAN, 19 Disember 2023 - Delegasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengadakan audit validasi Program Kawal Selia UMPSA yang dikendalikan oleh pihak Muscat College, Oman. 

Delegasi UMPSA yang diketuai oleh Dekan Fakulti Komputeran (FK), Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin itu turut disertai oleh Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Dr. Syed Radzi Rahamaddulla dan Eksekutif Kanan, Pusat Kerjasama Strategik Akademik, Nor Ilma Mustafa Kamal. 

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar, sebanyak tiga program terlibat iaitu Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian, Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer dan Rangkaian) dengan Kepujian dan Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian.

“Audit validasi program telah diadakan di Jabatan Komputeran dan Jabatan Perniagaan dan Perakaunan, Muscat College.

“Audit Validasi kali ini telah melihat beberapa aspek penambahbaikan program yang ingin dilakukan oleh Muscat College selaras dengan perkembangan teknologi dan inovasi,” katanya. 

Dalam pada itu, pihak Muscat College turut berminat untuk mengadakan kerjasama dalam pembangunan program secara francais serta mobiliti pelajar dan staf. 

Selain itu, Muscat College juga berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dengan UMPSA termasuklah untuk mendapatkan geran-geran penyelidikan dari kerajaan Oman.

Delegasi UMPSA turut diundang untuk menghadiri Majlis Graduasi Pelajar Muscat College yang berlangsung di Oman Convention Center pada 19 Disember 2023. 

Majlis menyaksikan seramai 58 orang graduan sarjana muda program kawal selia UMPSA yang bergraduat bagi tahun 2023.

Disediakan Oleh: Nor Ilma Mustafa Kamal, Pusat Kerjasama Strategik Akademik 
 

Reports by:
Admin UMP News