Skip to main content

UMP dan PSDM meterai perjanjian bersama dalam penyelidikan dan penerbitan buku

KUANTAN, 10 April  2023 - Universiti Malaysia Pahang ( UMP) dan Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) meterai perjanjian bersama dalam penyelidikan, penulisan, penyuntingan, percetakan dan penerbitan buku ‘Memoir Lima Dekad: Perbadanan Stadium Darul Makmur, 1973-2023’ sempena Majlis Sambutan Jubli Emas Stadium Darul Makmur pada tahun ini. 

Kolaborasi itu turut melibatkan pihak Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengurusan Industri dan Penerbit UMP. 

UMP dan PSDM pernah bekerjasama khususnya dalam urusan berkaitan penganjuran aktiviti kesukanan, namun kerjasama kali ini cukup istimewa apabila UMP kini menjadi sebahagian daripada pemegang taruh dan rakan strategik utama sempena sambutan Perayaan Jubli Emas Perbadanan Stadium Darul Makmur yang dijadualkan pada September 2023 yang akan datang.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Yang Berhormat Fadzli Mohamad Kamal merangkap Pengerusi Perbadanan Stadium Darul Makmur. 

UMP dan PSDM meterai perjanjian bersama dalam penyelidikan dan penerbitan buku

Turut sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur, Izad Zainal Muhammad Safian. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMP berbangga apabila salah seorang ahli akademik iaitu Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dari Fakulti Pengurusan Industri dilantik sebagai Penyelidik dan Pengarang Perunding bagi buku ‘Memoir Lima Dekad: Perbadanan Stadium Darul Makmur, 1973-2023’ melalui penganugerahan geran industri bernilai RM145,000. 

“Projek ini sebagai geran industri turut memberi skor pemberat yang signifikan kepada UMP dalam konteks penilaian Malaysia Research Assessment (MyRA) di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya.

UMP dan PSDM meterai perjanjian bersama dalam penyelidikan dan penerbitan buku

Terdapat tujuh Petunjuk Utama Prestasi (KPI) yang dinilai terhadap para ahli akademik di semua Universiti Awam (UA) iaitu Pengajaran dan Pembelajaran, Penyelidikan, Penerbitan, Perundingan, Penyeliaan, Pentadbiran dan Perkhidmatan Masyarakat. 

Majlis turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, Yang Hormat Dato’ Dr. Mohd Zakaria Ibrahim dan Ketua Penolong Pegawai Kewangan Kerajaan Pahang, Azrul Sharill Ahmad. 

Turut hadir Pengarah Kanan Penyelidikan, Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab. Rahim, Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Dr. Mohd Hanafiah Ahmad dan Pengarah Penerbit, Ir. Ts. Dr. Norazlianie Sazali.

Disediakan oleh: Mimi  Rabita  Haji  Abdul  Wahit, Bahagian  Komunikasi  Korporat, Jabatan Canseleri  

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit