Skip to main content

Ir. Ts. Dr. Juliawati hasilkan kapsul mikro berkomposisi madu dan minyak biji rami tingkatkan rintangan karatan logam

PEKAN, 20 September 2023 - Kos membaik pulih atau penyelenggaraan komponen automotif, paip minyak dan gas (oil and gas pipeline) dan sebagainya bukanlah murah dan memerlukan kaedah yang sesuai dan efektif bagi melindungi logam serta bahan daripada karatan.

Bertitik-tolak daripada permasalahan itu, Ketua Program Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Ir. Ts. Dr. Juliawati Alias telah menghasilkan kapsul mikro (microcapsules) berkomposisi madu dan minyak biji rami (linseed oil) yang berfungsi sebagai agen perencat karatan di dalam cat yang seterusnya membentuk smart coating

Menurutnya, kapsul mikro terhasil berbentuk sfera dan bersaiz antara 30 hingga 70 mikro meter dan saiz adalah bergantung kepada kadar pengadukan (agitation rate). 

“Kapsul mikro ini akan diletakkan di dalam bancuhan epoksi dan pengeras (hardener) dalam kadar atau nisbah yang sesuai. 

Smart coating akan bertindak untuk sembuh sendiri (self-healing) apabila ada sebarang calar pada permukaan yang bercat dan melepaskan perencat karatan secara automatik untuk mengurangkan risiko permukaan logam dari berkarat. 

“Daripada ujian karatan yang dijalankan menunjukkan kadar karatan logam berkurang sebanyak lebih dari 99 peratus dengan kadar karatan setahun bagi logam tidak dicat atau disadur (23.1 mm/y) berbanding logam bersadur smart coating (0.001 mm/y),” ujarnya. 

Ir. Ts. Dr. Juliawati hasilkan kapsul mikro berkomposisi madu dan minyak biji rami tingkatkan rintangan karatan logam

Penyelidikan ini dibiayai geran penyelidikan KPT telah bermula tahun 2019 ini turut mendapat kerjasama daripada pensyarah FTMKA, Dr. Nasrul Azuan Alang dan pelajar sarjana FTKMA, Nurul Amiratul Johari telah siap sepenuhnya pada November 2022. 

Tambahnya, idea mengenai penciptaan smart coating bermula ketika beliau memikirkan apakah kaedah sesuai dan efektif untuk melindungi logam dan bahan dari karatan. 

“Kajian terkini menunjukkan kaedah aplikasi smart coating sangat efektif melindungi komponen logam dan menarik minat saya untuk mengkaji lebih dalam. 

“Namun sejauh mana proses pembuatan, pencirian dan prestasi jika kapsul mikro ini dimodifikasi dengan penambahan madu sebagai perencat karatan telah diterjemahkan dalam permohonan geran penyelidikan KPT iaitu FRGS bertajuk Interaction Mechanism of Self-Healing Epoxy Coating and Microencapsulated Inhibitor for Corrosion Protection of Magnesium Alloys,” katanya. 

Produk ini berfungsi meningkatkan rintangan karatan logam atau komponen berlogam secara berpanjangan (long term corrosion protection) dan boleh didapati dengan harga RM50/50 ml. 
Pada masa akan datang, produk ini diuji pada aplikasi yang sebenar seperti mengecat kereta, paip atau komponen besi. 

Produk ini juga pernah meraih pingat emas pada Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) 2022. 

Manakala pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2022 dan CITREX 2021, produk ini memenangi pingat perak. 

Selain daripada kapsul mikro (microcapsules) berkomposisi madu dan minyak biji rami (linseed oil), Ir. Ts. Dr. Juliawati pernah menghasilkan motorbike roof shield dan pelantar uji karatan (corrosion test rig). 

Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta