Skip to main content

UMPSA perluas kolaborasi strategik bersama Istanbul Kultur University (IKU)

İSTANBUL, 26 Februari 2024- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperluas jalinan kolaborasi strategik bersama Istanbul Kultur University (IKU), Turkiye khususnya dalam bidang akademik dan penyelidikan melalui Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) yang berlangsung di kampus IKU, Istanbul. 

MoU ditandatangani oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Rektor IKU, Profesor Dr. Fadime Uney Yüksektepe dengan disaksikan oleh Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti. 

UMPSA merupakan rakan kerjasama strategik pertama IKU dari Malaysia dan antara bidang kerjasama yang bakal diterokai antara UMPSA dan IKU adalah melibatkan aktiviti seperti penyelidikan dalam bidang Saintifik dan Teknologi, program pertukaran staf dan pelajar serta penerbitan.

UMPSA perluas kolaborasi strategik bersama Istanbul Kultur University (IKU)

Selain itu, delegasi UMPSA juga turut berpeluang mengadakan sesi perbincangan dua hala bersama wakil IKU yang membincangkan aktiviti kolaborasi yang boleh diadakan dalam masa terdekat bagi mengukuhkan agenda pengantarabangsaan institusi masing-masing.

Turut dibincangkan adalah inisiatif wakaf dan pendanaan yang dilaksanakan di universiti di Turkiye. 

Menurut Profesor Dato' Dr. Yuserrie, UMPSA berharap jalinan kerjasama antarabangsa seumpama ini dapat merancakkan lagi pelaksanaan pelbagai aktiviti akademik, penyelidikan dan inovasi serta penerbitan di universiti ini sekaligus menyumbang kepada pembangunan sistem pendidikan negara.

"Ketika ini, UMPSA mempunyai 20 kolaborasi strategik bersama institusi pendidikan tinggi di Turkiye antaranya adalah Istanbul Technical University, Sakarya University, Karabuk University, Middle East Technical University dan Bolu Abant Izzet Baysal University,” ujarnya lagi.

Turut sama hadir daripada UMPSA adalah Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Bendahari, Dato’ Zainudin Othman dan Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari, 

Manakala dari  IKU pula ialah Timbalan Rektor, Profesor Dr. Burcu Titfiklioglu, Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa, Taygun Altınta, dan Pegawai Kanan Pejabat Hubungan Antarabangsa, Ipek Çalışır Demir. 

Disediakan Oleh: Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor 

Reports by:
Ferdaus