Skip to main content

UMP anjur Pekan Bridge Run pupuk budaya hidup sihat

PEKAN, 10 Julai 2023- Universiti Malaysia Pahang (UMP) buat julung kalinya akan menganjurkan program UMP Pekan Bridge Run pada 2 September 2023 dalam menyemarakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga UMP dan masyarakat  setempat.

Berkonsepkan ‘fun run’  dan berlari sambil beramal penganjuran program  ini sebagai antara usaha meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sekali gus membantu mempromosikan bandar Pekan sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri Pahang Darul Makmur. 

Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Mohd Aznorrizamin Ismail berkata, program larian ini juga akan memperkenalkan Bandar Pekan yang juga terkenal dengan jolokan Bandar Diraja kerana terletaknya Istana Sultan Pahang serta kerabat Diraja negeri ini.

UMP organizes Pekan Bridge Run to promote a healthy lifestyle

“Sebanyak dua kategori yang dipertandingkan iaitu lima kilometer dan sepuluh kilometer manakala laluan akan bermula dari Hotel Ancasa kemudian melalui Jambatan Sultan Abu Bakar ke bandar Pekan.

“Sudah pasti laluannya lebih menarik yang memberi peluang  peserta akan berlari sambil menikmati keindahan dan keharmonian bandar Diraja serta melalui pelusuk kampung yang ada di sepanjang laluan.

“Selain itu, para peserta juga berpeluang membawa pulang beraneka hadiah cabutan bertuah termasuk barangan elektrik dan peralatan sukan,” katanya. 

Jelas beliau lagi, dengan penyertaan sebanyak RM50 bagi lima kilometer dan RM70 bagi penyertaan sepuluh kilometer para peserta yang menyertai larian ini akan menerima baju T, pingat dan e-sijil penyertaan.

Beliau menyeru kepada para pelajar sekolah menengah, institusi pengajian tinggi (IPT), atlet, pecinta kecergasan atau sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai program ini untuk bersama-sama memeriahkan program ini.  

Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti penjenamaan universiti dan sempena Sambutan Ulang Tahun UMP Ke-21 dan menyokong agenda matlamat pembangunan mampan (SDG).

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi urusetia di talian 09-431 5000 atau boleh mendaftar menerusi pautan https://www.ticket2u.com.my/event/31463.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris