Skip to main content

UMPSA juara Liga Premier Futsal IPT 2023

GELUGOR, 9 November 2023 - Sejarah tercipta apabila Pasukan Futsal Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang julung kalinya dinobatkan juara Liga Premier Futsal Institusi Pengajian Tinggi (LFIPT) 2023 pada Kejohanan Liga Futsal IPT 2023 – Grand Final. 

Muhammad Aizat Mohd Romzi yang telah menjaringkan 16 gol sepanjang kejohanan dianugerahkan Penjaring Terbanyak Kejohanan manakala Amirul Aiman Hairol Nizan pula dianugerahkan Pemain Terbaik Liga Premier 2023. 

Ketua pasukan, Muhammad Helmi Arshard telah dicalonkan Pemain Harapan Liga Premier manakala Mohamad Haziq Harith Mohd Khairi dicalonkan Penjaga Gol Terbaik Liga Premier. 

Pengurus pasukan, Al-Muhaimin Ali merakamkan jutaan terima kasih kepada pusat tanggungjawab (PTJ) UMPSA yang terlibat terutamanya Pusat Sukan dan Kebudayaan, Akademi ADAB, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pusat Kesihatan, dan Pusat Pengurusan dan Pembangunan Harta.

UMPSA juara Liga Premier Futsal IPT 2023

“Tahniah kepada ketua jurulatih, Wan Suratman Adnan Wan Roslee yang cemerlang sehingga pasukan dapat melayakkan diri melalui pusingan kelayakan pada Januari 2023.

“Empat fasa kejohanan telah bermula pada bulan Mac dan berakhir di Universiti Sains Malaysia (USM). 

“Pasukan UMPSA mengesahkan kejuaraan dengan mengutip mata keseluruhan iaitu 45 mata hasil 14 kemenangan, tiga seri dan hanya satu kekalahan daripada jumlah 18 perlawanan,” ujarnya. 

Katanya, lebih membanggakan UMPSA berbeza 11 mata dengan pasukan kedua dan ketiga.

“Pasukan Futsal (Lelaki) UMPSA telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000, piala pusingan, piala iringan dan medal kejohanan

“Dengan kejuaraan ini, UMPSA akan bertanding di Liga Super Futsal IPT 2024. 

“Diharapkan pasukan akan mendapat tambahan peruntukan serta tajaan luar daripada pihak swasta, persendirian dan alumni UMPSA pada masa hadapan,” katanya. 

UMPSA juara Liga Premier Futsal IPT 2023

Jelas beliau, ia bagi memastikan prestasi pasukan dapat ditingkatkan dan mampu memberi saingan dalam Liga Futsal IPT 2024 nanti. 

Majlis penyampaian hadiah di Azman Hashim Sport Arena USM, Pulau Pinang telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik (BPS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Fazidah Mustafa.  

Turut hadir dalam majlis itu adalah Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, BPS KPT, Dato’ Dr. Pekan Ramli, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Dr. Mahyuddin Daud, Pengarah Pusat Pembangunan Sukan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). 

Disediakan oleh: Al-Muhaimin Ali, Pusat Sukan dan Kebudayaan

Reports by:
Admin UMP News