Skip to main content

UMPSA diiktiraf dunia dalam ESG

PEKAN, 6 Disember 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diiktiraf dunia apabila tersenarai dalam kedudukan 565 terbaik dunia dan 133 terbaik Asia dalam Penarafan QS Sustainability 2024 yang menilai universiti berdasarkan tindakan yang diambil terhadap isu Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). 

Penarafan ini dibuat berdasarkan tiga skop penilaian yang utama iaitu Kesan Persekitaran (Environmental Impact) 45 peratus, Kesan Sosial (Social Impact) 45 peratus dan Tadbir Urus (Governance) 10 peratus melibatkan 1,403 universiti yang tersenarai di seluruh dunia.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, universiti terus memperlihatkan komitmennya dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan menilai usaha universiti dalam menangani masalah dunia berkaitan ESG.

“Dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Kampus Lestari menerusi Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 bagi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 5C (2), UMPSA telah berjaya mencapai sasaran kemajuan pembangunan kampus lestari yang ditetapkan. 

“Selain itu, UMPSA turut mengaplikasikan teknologi dan mengamalkan gaya hidup lebih baik dalam kalangan warga dengan mengurangkan jejak karbon yang bakal memberi penyelesaian inovasi kepada penggunaan tenaga.

“Dalam masa yang sama, UMPSA sentiasa berusaha untuk memperkenalkan teknologi dan amalan kelestarian kepada masyarakat, mendidik serta yang lebih utama menjadi suri teladan (role model) mengenai prinsip-prinsip kelestarian,” katanya.

Menerusi inisiatif ini, bagi menggalakkan penggunaan karbon rendah serta kenderaan pintar yang cekap tenaga UMPSA memiliki dua bas elektrik dan dua van letrik dengan stesen pengisian EV di kampus.

Selain itu, UMPSA giat menjalankan inisiatif terhadap usaha memupuk kesedaran amalan lestari antaranya pemasangan solar di universiti ini melibatkan tiga kaedah iaitu pemasangan di atas bumbung bangunan, pemasangan di atas pakir kenderaan atau dalam istilah teknikal ialah Building Integrated Photo Voltic (BIPV) dan pemasangan solar di atas permukaan tasik.

“Pemasangan solar 3.58MWp ini akan dapat mengurangkan penghasilan karbon dioksida (CO2) di dalam Kampus UMPSA Pekan sebanyak 47 peratus bersamaan penjimatan bil elektrik antara 400,000 sehingga RM 600,000 setahun,” katanya.

Kedudukan ini juga turut meletakkan UMPSA di kedudukan #1 terbaik MTUN, #12 (daripada 26 buah universiti) terbaik di Malaysia.

Tambah beliau, dalam UI Greenmetric World University Rankings (UIGWUR) 2023 yang diumumkan semalam turut menyenaraikan UMPSA berada di kedudukan 68 dunia berbanding 1,183 buah universiti yang dinilai.

Penarafan UIGWUR ini juga mengukur inisiatif kehijauan dan kelestarian alam sekitar yang dimulakan oleh Universitas Indonesia pada tahun 2010 dengan menilai 39 petunjuk dalam enam kriteria iaitu Tetapan dan Infrastruktur (Setting and Infrastruktur) 15 peratus, Tenaga dan Perubahan Iklim (Energy and Climate Change) 21 peratus, Bahan Buangan (Waste) 18 peratus, Air (Water) 10 peratus, Pengangkutan (Transportation) 18 peratus dan Pendidikan dan Penyelidikan (Education and Research) 18 peratus.

Pengiktirafan ini secara tidak langsung menjadi penanda aras penting bagi menarik lebih ramai pelajar bukan sahaja dalam negara malah antarabangsa untuk melanjutkan pengajian ke UMPSA.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga universiti atas komitmen pencapaian dalam usaha memperkasakan amalan lestari melalui pelbagai program universiti yang dilaksanakan.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit