Skip to main content
UMP E-Newsletter

Info Sekitar Kampus

NC seru mahasiswa UMP memperkaya pengalaman kampus

NC seru mahasiswa UMP memperkaya pengalaman kampus

Oleh: MOHAMAD HAKIMI KAMARUDIN, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim berhasrat melihat kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2018/2019 memainkan peranan yang besar dalam meluaskan world view mahasiswa UMP supaya lebih cakna dan bertanggungjawab dalam soal pengurusan diri dan hal-ehwal mereka selepas ini.
 
“Sebagai pemimpin, satu perkara yang perlu selalu diingati iaitu respect should be earned, not demanded. Keupayaan MPP untuk menzahirkan kepimpinan berimpak (impactful leadership) dengan tertib dan adab, profesionalisme komunikasi dan kualiti kerja. 

NC seru mahasiswa UMP memperkaya pengalaman kampus

“Kematangan kepimpinan yang dicirikan oleh diplomasi, konferensi dan kesusilaan sewajarnya diangkat sebagai watak dan wibawa MPP secara konsisten,” katanya dalam Majlis Penyerahan Pelantikan dan Angkat Sumpah MPP 2018/2019 yang berlangsung di Mangala Resort & Spa, Gambang pada 29 November 2018 yang lalu. 

Tambah beliau lagi, interaksi dengan pihak pengurusan melalui pelbagai saluran rundingan dan musyawarah yang harmoni dan profesional hendaklah dikekalkan. 

“Para mahasiswa akan mula menilai prestasi dan wibawa barisan MPP ini untuk mengangkat agenda-agenda yang konstruktif terhadap pengayaan pengalaman kampus mereka di sini.

“Dalam hubungan tersebut, antara aspek penting yang perlu diberikan perhatian serius oleh MPP ialah penyuburan budaya kegembiraan, kebahagiaan, hormat-menghormati dan kemanusiaan yang banyak kali dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. 

“Justeru, pihak MPP harus turut berperanan dan bertanggungjawab dalam mempromosikan keempat-empat budaya berkenaan melalui pelbagai program dan aktiviti supaya UMP terus harmoni dan berseri dengan suasana kampus yang kondusif untuk tujuan pengajian dan juga perpaduan,” katanya. 
 

NC seru mahasiswa UMP memperkaya pengalaman kampus

Profesor Dato' Sri Dr Daing Nasir turut mengucapkan tahniah kepada urus setia mahasiswa atas keupayaan mereka menguruskan pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) kali ini dengan lancar, teratur dan tenteram tanpa sebarang masalah atau kejadian yang serius sepanjang proses pemilihan dan hari pengundian yang berlangsung pada 26 November lalu. 

Selaras dengan agenda pengupayaan mahasiswa oleh Menteri Pendidikan yang baharu, maka inilah pertama kalinya urusan pemilihan MPP dikendalikan sendiri oleh mahasiswa. 

Kejayaan eksperimen ini memberi keyakinan kepada pihak pengurusan untuk terus mengekalkan penglibatan mahasiswa semaksimum mungkin dalam urusan pemilihan MPP yang akan datang. 

Perkembangan positif ini tidak hanya signifikan dalam konteks pengayaan pengalaman kampus mahasiswa, tetapi turut penting bagi memberi pendedahan kepada aspek akauntibiliti, ketelusan dan integriti proses sebagai asas tadbir urus cemerlang organisasi.
 
Majlis menyaksikan seramai 25 barisan kepimpinan MPP yang diketuai Yang di-Pertua MPP 2018/2019, iaitu Zakwan Zulkifle dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) yang menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah berjanji menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan. 

Bagi Zakwan, MPP akan memainkan peranan sebagai pengantara antara mahasiswa dan pengurusan universiti agar suara mereka boleh didengari. 

Perkara itu akan menjadi elemen utama buat beliau selepas diberi kepercayaan untuk memimpin MPP yang mewakili mahasiswa UMP. Meskipun hubungan antara pengurusan universiti dan mahasiswa telah sedia terjalin, namun ianya perlu ditambah baik.

Beliau juga akan sedaya upaya menyediakan platform kepada mahasiswa bagi meningkatkan Unique Selling Factor tanpa mengira fakulti. 

Turut menjadi perhatian termasuklah memperkasa peranan MPP, berkolaborasi antara kelab dalam universiti serta isu kebajikan mahasiswa. 

Pihak universiti turut menghargai sumbangan barisan kepimpinan MPP 2017/2018 yang diketuai Yang di-Pertua MPP 2017/2018, Muhammad Amrun Aniq Saidi. 

Hadir sama dalam majlis Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr.Yusserie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Abd Hamid Majid.


Info Sekitar Kampus

UMP rai pengamal media Pahang

UMP rai pengamal media Pahang

Program Sepetang Universiti Malaysia Pahang (UMP) Bersama Media yang diadakan pada 26 November 2018 yang lalu memberi peluang pihak pengurusan universiti dan pengamal media meluangkan masa dan mengeratkan lagi hubungan baik serta menghargai komitmen media terutamanya dalam membuat liputan program-program universiti. 

Dengan publisiti dan liputan meluas yang telah diberikan oleh pihak media sejak penubuhan UMP pada 17 tahun yang lalu, masyarakat awam kini telah mengenali UMP dan mengetahui peranannya dalam melahirkan jurutera dan teknologis yang berdaya saing.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim, UMP sangat berbesar hati mendapat kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada agensi media dalam usaha menyampaikan perkembangan dan kecemerlangan universiti kepada khayalak ramai serta berkongsi kecemerlangan universiti apabila diiktiraf dalam kelompok 200 universiti terbaik Asia oleh QS University Ranking Asia: 2019. 

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar UMP, Abd Hamid Majid, Pengurus Besar, Pusat Sukan dan Kebudayaan, Abd. Rahman Haji Safie, Ketua Biro NSTP, Abd. Razak Raaf, Ketua Biro Bernama, Noor Shamsiah Mohamed dan  Ketua Biro Sinar Harian, Nik Amirul Mu’min. 

Dalam majlis yang sama turut berlangsung Prapelancaran Kejohanan Badminton Media Piala Naib Canselor UMP yang bakal berlangsung pada 13 Disember depan bagi menyokong aktiviti kesukanan dan membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pengamal media. 

Turut hadir 60 wartawan dan jurugambar. Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh Kumpulan Seni Tari Kencana Pawana UMP.


Aktiviti Pelajar

Rakyat Malaysia perlu lebih hargai negara sendiri - Mark O'dea

Rakyat Malaysia perlu lebih hargai negara sendiri - Mark O'dea

Oleh: MOHD MUKHRIS AWANG, PEJABAT NAIB CANSELOR

Pengalaman mengembara dan berkerjaya di Malaysia sejak lima tahun lalu telah menyebabkan beliau jatuh cinta dengan negara ini. 

Malah, jejaka Inggeris kelahiran Gravesend, Kent ini mengakui hairan dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang kurang menghargai negara sendiri serta tidak dapat menguasai bahasa kebangsaan. 

Demikian cetusan rasa yang dikongsikan seorang pengacara televisyen, pelakon dan selebriti Youtube, iaitu Mark O'dea yang hadir dalam program Infinite Class: Express To Impress anjuran Kelab InSmartive dan Perwakilan Kolej Kediaman 4 (PEKA4) di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang pada 24 November 2018 yang lalu. 

Rakyat Malaysia perlu lebih hargai negara sendiri - Mark O'dea

Beliau turut berkongsi aktiviti mingguannya dengan menonton satu filem bahasa Melayu pada setiap minggu demi meningkatkan penguasaannya dalam bahasa tersebut. 

"Malulah saya kalau tidak pandai cakap Melayu dengan baik sedangkan saya bekerja dan tinggal di Malaysia,” seloroh beliau dengan diikuti tepukan gemuruh para hadirin.

Penampilan sulung beliau di UMP ini telah menerima sambutan hangat daripada lebih 300 mahasiswa berbilang bangsa. 

Selain perkongsian kerjayanya dalam dunia seni dan penyiaran, Mark O'dea turut gembira melayani para hadirin melalui interaksi soal jawab selama lebih satu jam serta tampil mengejutkan mereka dengan persembahan istimewa lagu 'Sinaran' yang pernah dipopularkan oleh Dato' Sheila Majid satu ketika dahulu.

Beliau yang dikenali ramai melalui watak 'Mr James Blond' dalam siri 'Oh My English!' di TViQ memulakan kerjayanya di Malaysia pada tahun 2013 seawal usia 22 tahun kini aktif dalam bidang pengacara dan pengulasan sukan di sebuah syarikat televisyen satelit tempatan.

Berpendidikan dalam bidang seni persembahan dari sebuah akademi teater terkemuka di United Kingdom, beliau turut menyarankan mahasiswa UMP supaya berani meneroka dunia dan mengembara jauh bagi mencari peluang kerjaya di samping mematangkan diri, menambah pengalaman dan meningkatkan pengetahuan.

Turut hadir dalam sesi dialog adalah Ketua Penyelidik Pejabat Naib Canselor, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Pengetua Kolej Kediaman 4, Nasrul Salim Pakheri, Presiden InSmartive, Muhammad Aizat Azed dan Presiden PEKA 4, Muhammad Haziq Mohamad Nazri.

Rakyat Malaysia perlu lebih hargai negara sendiri - Mark O'dea

Dalam pada itu, Mark O'dea turut dijemput menjayakan program Interactive Group di bawah inisiatif Bridge of Love @KP House Project di Kampung Kuala Pahang, Pekan kelolaan Kelab InSmartive dan UMP Advanced Education. 

Program interaktif berteraskan pendidikan bahasa Inggeris dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ini diadakan secara mingguan untuk anak-anak tempatan bersama sukarelawan mahasiswa UMP dengan menyasarkan transformasi landskap pendidikan di Kuala Pahang.


Aktiviti Pelajar

Mahasiswa UMP hulur sumbangan, timba pengalaman sosio budaya masyarakat Kemboja

Oleh: EMMA MELATI BURHANUDDIN, FAKUTI KEJURUTERAAN AWAM & SUMBER 
          ALAM (FKASA)

Mahasiswa UMP hulur sumbangan, timba pengalaman sosio budaya masyarakat Kemboja

Seramai sepuluh orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA) dan Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) telah menyertai misi Mobiliti Asean Kemboja 2018 pada 30 November 2018 yang lalu.

Program khidmat komuniti ini memberikan mereka peluang menimba pengalaman mengenai sosiobudaya masyarakat di sana. 

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) ini bertujuan mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat global dalam perkongsian teknologi dan pengetahuan selain dapat meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri mahasiswa.
 
Menurut Pengarah Program, Ahmad Firdaus Ahmad Asri, kunjungan mereka ke Kampung Chnang yang merupakan salah satu perkampungan Islam sangat menginsafkan. 

“Kedudukan kampung yang agak jauh iaitu jaraknya 130 km dari pusat bandar menyebabkan kampung ini agak ketinggalan dari sudut pembangunan. 

“Malahan kebanyakan mereka masih menggunakan perigi dan pam air untuk mendapatkan sumber air bersih. Begitu juga dengan keadaan madrasah dan surau juga serba kekurangan dari segi kelengkapan dan keselesaan untuk belajar dan melaksanakan ibadah.
 

Mahasiswa UMP hulur sumbangan, timba pengalaman sosio budaya masyarakat Kemboja

“Program seperti ini dapat memupuk semangat kemasyarakatan secara berkumpulan. Aktiviti yang dijalankan adalah seperti sesi pembelajaran, perkongsian teknologi dan pemberian sumbangan dalam bentuk tenaga, pengetahuan dan kemahiran diharapkan sedikit sebanyak mampu untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di sini,” katanya.
 
Tambah beliau lagi, selain itu dengan adanya program seperti ini mampu mewujudkan semangat jati diri dan persefahaman yang tinggi dalam kalangan mahasiswa. 

“Misalnya, kesulitan yang dirasai bersama mampu melahirkan sebuah kumpulan yang sentiasa memahami dan bertoleransi antara ahli kumpulan, memberikan kesedaran bahawa tidak semua orang mampu merasai kesenangan dan bersyukur dengan nikmat kesenangan yang kita peroleh. 

“Aktiviti seperti ini juga mampu mewujudkan rasa bertimbang rasa dan berkongsi apa yang dimiliki. Bukan itu sahaja, program ini juga membolehkan mahasiswa mempelajari keunikan budaya, bahasa, perkembangan teknologi dan sebagainya yang ada di Kemboja.
 
“Kami juga mengadakan aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk Kampung Chnang, Trolach dan menyerahkan sumbangan beberapa naskhah al-Quran dan risalah buku Surah Yasin, rak buku, telekung, sejadah dan wang tunai hasil sumbangan warga UMP,” katanya. 

Tambah beliau lagi, mereka turut menyerahkan 30 unit lampu solar kepada penduduk kampung.
 
Di samping itu juga mereka turut berpeluang berkunjung ke Madrasah Al-Falah, Phnom Penh bagi sesi pembelajaran bersama 60 pelajar madrasah yang tergolong dalam pelbagai peringkat umur antara tujuh  hingga 16 tahun. 

Sudut pengetahuan juga disediakan dan dipenuhi dengan pelbagai poster informasi bagi membolehkan pelajar madrasah ini diperkenalkan dengan kehidupan kampus di universiti khususnya di UMP.  

Kesempatan ini juga memberikan mereka peluang berkunjung ke Norton University yang merupakan universiti swasta pertama di Kemboja.


Aktiviti Pelajar

Kumpulan Kencana Pawana UMP raih 3 Anugerah MAKUM

Kumpulan Kencana Pawana UMP raih 3 Anugerah MAKUM

Kumpulan Kencana Pawana Universiti Malaysia Pahang (UMP) menggondol tiga anugerah utama dalam Festival Zapin Majlis Kebudayaan Universiti–universiti Malaysia (MAKUM) 2018 yang berlangsung di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang  pada 2 Disember 2018 yang lalu.
 
Menurut mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi Industri(FSTI) merangkap Ketua Tarian Zapin, Mohamad Firdaus Ab Hadi, 21, dalam pertandingan itu, Kumpulan Kencana Pawana telah memenangi Anugerah Tatarias Terbaik, Anugerah Kumpulan Harapan dan Anugerah Perdana yang membawa pulang wang tunai RM250 dan trofi bagi setiap anugerah yang dimenangi.
 
“Kami sungguh teruja dan tidak menyangka dengan kejayaan ini apabila buat julung kalinya meraih sebanyak tiga anugerah sekali gus memandangkan persaingan yang hebat antara universiti.
 
“Dalam pertandingan ini, kami telah memilih tarian Zapin Padang Sari dan memakai pakaian serta aksesori Tradisional Johor. 

“Tarian ini  melibatkan 12 orang penari dan  kami berpuas hati kerana berjaya membuat persembahan dengan baik,” katanya.
 
Katanya lagi, kejayaan ini adalah hadiah teristimewa buat kumpulan yang berusaha keras berlatih hanya dalam tempoh dua minggu sebelum pertandingan ini. 

“Selain itu, kami amat menghargai sokongan semua pihak terutamanya kepercayaan pihak universiti dalam memberi mereka peluang untuk tampil membuat persembahan sehingga berjaya sampai ke peringkat ini,” ujar beliau.
 
Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Kencana Pawana UMP atas kejayaan ini dan mengharapkan semoga dengan kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada kumpulan kebudayaan UMP untuk terus cemerlang mencipta kejayaan.
 
“Biarpun UMP sebagai sebuah universiti yang berfokuskan kepada teknikal dan kejuruteraan, namun pihak universiti sentiasa menyediakan peluang serta kemudahan kepada mahasiswa mengembangkan minat dalam bidang seni kebudayaan,” katanya.
 
Juara bagi Festival Zapin MAKUM 2018 telah dimenangi oleh UPM, tempat kedua milik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di tempat ketiga. 

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPM, Profesor Mohd Roslan Sulaiman.
 
Festival MAKUM merupakan salah satu festival tahunan yang dianjurkan bagi melahirkan penggiat generasi baharu yang mampu menjadi penggerak kepada perkembangan seni.


Sukan dan Rekreasi

Tasik UMP tumpuan peminat bot laju kawalan jauh

Tasik UMP tumpuan peminat bot laju kawalan jauh

Landskap Universiti Malaysia Pahang (UMP) sering menjadi tarikan dengan panorama yang boleh dinikmati di sekitarnya yang cukup mendamaikan. 

Terdapat empat buah tasik di sekitar kampus dan salah satunya berhadapan Perpustakaan UMP yang berkeluasan 44.26 ekar. Tasik ini juga dilengkapi dengan trek jogging sepanjang 1,614 meter dan laluan basikal sepanjang 1,524 meter.

Tasik UMP tumpuan peminat bot laju kawalan jauh

Buat julung kalinya, pada 4 Disember 2018 yang lalu, tasik ini kembali menjadi tumpuan buat peminat sukan Bot Laju Kawalan Jauh atau 'Remote Control' (RC) dalam Pertandingan UMP RC Powerboat Fun Race 2018 anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP (PSK) di Pusat Rekreasi Air UMP Pekan.

Bagi Pengarah PSK, Abd. Rahman Haji Safie, pertandingan ini memberi peluang orang ramai menyaksikan keindahan kampus hijau di samping menjalinkan hubungan baik dengan komuniti setempat.
 
“Penganjuran ini juga sebagai menyahut seruan universiti menjadikan UMP Pekan sebagai salah satu pusat pendidikan pelancongan (EDU-Tourism) di Pekan Pahang. 

“Ia berjaya melibatkan penyertaan bukan sahaja dari negeri Pahang malahan sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Kuala Terengganu,” katanya. 

Ketika ini pihaknya sedang bekerjasama dengan Kelab RC Boat Race Pahang untuk membentuk pasukan dari UMP dan berhasrat untuk menarik lebih banyak penyertaan termasuk dari luar negara pada penganjuran akan datang.
 
Pertandingan menyaksikan Lim Hai Meng menang tiga kategori iaitu Tunnel/Catamaran Hull Local Modified Engine, Mono Hull Local Engine dan Mono Hull Open Modified Engine manakala bagi kategori Tunnel/Catamaran Hull Open Import Engine dimenangi Nor Hisham Muhammad.

Tasik UMP tumpuan peminat bot laju kawalan jauh

Tambah beliau lagi, usaha menaik taraf kemudahan sekitar tasik dan pusat ini akan dilaksanakan terutama daripada aspek keperluan asas bagi membolehkan lebih banyak sukan air dapat dilaksanakan.

Beliau mengharapkan kemudahan itu juga dapat mencungkil bakat baharu bagi permainan alat kawalan jauh yang mampu mewakili negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selain itu, pihaknya amat menitik beratkan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam memastikan persekitaran tasik ini bersih agar tidak menggangggu ekosistem hidupan di tasik ini. 

Tasik ini juga sesuai buat orang ramai untuk menjalankan aktiviti bersukan dan amalan gaya hidup sihat. Lebih menarik berhampiran tasik ini terdapat Rimbunan Cendekia yang ditanam pohon-pohon hijau sekitar kampus serta Taman Aromatik dengan lebih 20 jenis pokok yang mempunyai aroma seperti Gaharu, Buah Keras, Cempaka, Kenanga, Tembusu, Kulim dan lain-lain.