Skip to main content

Bapa kuatkan hati terima Anugerah Anumerta arwah anak

PAYA BESAR, 6 November 2022 - Ketika ibu bapa lain gembira hadir menyambut kejayaan anak mereka menamatkan pengajian, sepasang suami isteri, Ab Razak Ahmad, 67, dan Norhana Hanim Abdullah, 65 terpaksa menguatkan hati menerima Anugerah Anumerta arwah anak dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-17 yang masuk hari kedua hari ini.

Anugerah disampaikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrrie Zainuddin kepada waris graduan Allahyarham Muhammad Raafi Ab Razak, 22, graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Tenaga & Persekitaran), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) yang telah meninggal dunia pada 15 Oktober 2021 akibat kemalangan jalan raya. 

Bapa kepada Allahyarham Muhammad Raafi, Ab Razak Ahmad berkata, meskipun hasrat melihat arwah anak bongsu naik ke atas pentas untuk mengambil ijazah tidak kesampaian, namun untuk menghargai perjuangan arwah yang telah mengikuti pengajian selama ini, beliau sanggup menghadiri dan mewakili arwah untuk menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen kali ini.

Bapa kuatkan hati terima Anugerah Anumerta anak

“Allahyarham Muhammad Raafi memang rapat dengan saya dari kecil lagi dan sering menyatakan ingin mengikut jejak abang dan kakaknya yang memasuki universiti. 

“Memandangkan kami tidak pernah berjauhan, arwah memilih UMP sebagai destinasi menyambung pengajiannya kerana berhampiran dengan rumah kami iaitu di Pekan, Pahang.

Bapa kuatkan hati terima Anugerah Anumerta anak

“Semasa dalam pengajian, arwah juga aktif dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan aktiviti di universiti.

“Kematian akan menjemput sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur baik di usia muda mahupun tua,” katanya. 

Tambahnya, jika dilihat pada lumrah kehidupan saya yang pergi dahulu, tapi kuasa Allah SWT melebihi segalanya beliau reda dengan ketentuannya. 

Beliau juga tetap berbangga dengan kejayaan arwah sama seperti anak-anak yang lain.
 
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris