Skip to main content

Graduan berkompetensi, berkepimpinan menjadi pilihan majikan

PAYA BESAR, 5 November 2022 - Graduan yang mempunyai kompetensi tinggi dengan menguasai pelbagai bahasa, berkeyakinan diri, dapat berkomunikasi dengan baik dan berkeupayaan mengendalikan peralatan berteknologi tinggi akan mempunyai kelebihan mendapat tempat dalam pekerjaan.

Menurut Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, graduan harus mempunyai sifat kepimpinan yang perlu disemai dalam diri individu agar dapat melahirkan insan yang berkeyakinan, bijak merancang dan mampu mendorong orang lain untuk melakukan sesuatu bagi mencapai objektif yang ditetapkan. 

“Saya yakin dengan platform yang ada di Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah berjaya untuk mendidik dan membangunkan pelajar serta mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan graduan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-17 bagi Sesi 1 hari ini.

“Dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar ini, kebergantungan pada pasaran kerja tempatan sahaja sudah tidak mencukupi,” ujarnya. 

Beliau menyeru agar UMP dapat melahirkan graduan yang bersifat global. 

Malahan katanya, UMP perlu merangka pelbagai strategi dan inisiatif baharu bagi memastikan graduan UMP berjaya menembusi pasaran kerja antarabangsa.

Selain itu, universiti juga perlu mempergiatkan usaha menambah kemahiran dan kompetensi graduan yang akan dilahirkan supaya graduan UMP diterima oleh majikan sama ada dari syarikat multinasional yang berpangkalan di Malaysia mahupun yang berpangkalan di luar negara.

Beliau menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada seramai 199 penerima ijazah sarjana dan kedoktoran termasuk 14 anugerah dan hadiah kecemerlangan bersempena majlis konvokesyen itu. 

Turut sama hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan pengurusan universiti. 

Dalam majlis itu, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada Nur Khairiyah Hibatullah MD Rosley dan William Mah Wey Lian yang dianugerahkan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Michelle Ho Siaw Wei menerima Anugerah Canselor dan Chong Jia Xin menerima Anugerah Anugerah Pro-Canselor. 

Manakala Rashwini Balasuntram menerima Anugerah Naib Canselor, Nur Harizah Mohd Nadzmi dan Chew Yee Ping menerima Anugerah Emas Universiti. 

Seramai 4,535 graduan UMP mula bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen Ke-17 UMP sesi 1 dan 2 pada hari ini dan akan berlangsung sehingga  8 November 2022 di UMP Kampus Gambang atau kini dikenali sebagai UMP Paya Besar. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit