Skip to main content

Michelle Ho Siaw Wei penerima Anugerah Canselor jadikan ayahnya sumber inspirasi

PAYA BESAR, 5 November 2022 - Anak jati kelahiran Miri, Sarawak, Michelle Ho Siaw Wei, 24 menjadikan bapanya Ho Sing Huat, 53 yang bekerja sebagai seorang jurujual sebagai sumber inspirasi. Manakala ibunya, Chai Siew Chek, 48 yang merupakan seorang suri rumah turut menjadi sosok penting dalam kehidupannya.

Dilahirkan pada 5 September 1998 dan merupakan anak sulung daripada dua orang adik beradik, Michelle  pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) berjaya memperoleh anugerah dekan sepanjang lapan semester berturut-turut.

Tekad capai keputusan  cemerlang beliau terbukti apabila menerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-17 baru- baru ini. 
 
Sepanjang pengajian di UMP, beliau adalah seorang graduan yang aktif di universiti dengan melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti antaranya pernah menjadi penolong bendahari kelab International Society Pharmaceutical Engineering (ISPE) Student Chapter UMP. 

Menurutnya, kejayaan terindah adalah apabila berjaya menganjurkan program UMP-ISPE Career Talk2021 dan menjemput penceramah profesional dari Singapura.

“Saya juga terlibat dalam program anjuran School of Pharmacy, Institut Teknologi Bandung (ITB) iaitu terlibat dalam teknologi dan pembangunan vaksin bersama dengan negara-negara luar termasuklah Indonesia, Jepun, Korea, Australia, Nepal, Filipina, dan Arab Saudi’ katanya.

Kepintaran beliau terserlah apabila berjaya menerokai kaedah baharu dan seterusnya berjaya membentuk co-crystal secara manual menggunakan ice bath dalam penyelidikan projek tahun akhir bertajuk Effect of Co-Former on Morphology of Carbamazephine-Saccharin Cocrystals.
 
Beliau berbangga dengan budaya menarik tempat kelahirannya dengan menyertai Festival Bayu Kenyalang 7.0 2019 yang bertujuan memperkenalkan budaya dan seni dari Sabah dan Sarawak kepada warga UMP. 

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Bendahari Sekretariat Mahasiswa Anak Sabah Sarawak (SMASS) 2019.
 
Michelle  menerima banyak pengiktirafan antaranya menerima anugerah KNIME L1 Certification yang dilatih dan diiktiraf oleh SHRDC berkaitan dengan pembelajaran software analisis data untuk menjana dashboard analisis dan laporan, memperoleh Level 1 TRIZ Practitioner yang diiktiraf oleh The International TRIZ Association (MATRIZ) & The Malaysia TRIZ Association. 

Di samping itu juga, beliau turut diiktiraf pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum menerusi Curtin Malaysia Award of Excellent tahun 2017.  
 
Beliau berpendapat kemudahan yang disediakan UMP terutamanya kemudahan makmal khususnya bagi kursus farmaseutikal sangat baik. UMP telah menyediakan cleanroom yang dapat memberi gambaran dan simulasi yang jelas bagi pelajar untuk memahami proses menghasilkan ubat. 

Selain daripada teori di dalam kelas, UMP juga menekankan kemahiran hands on. Ini memberi kelebihan kepada graduan UMP kerana kemahiran teknikal yang dipelajari amat bermanfaat semasa bekerja dalam industri kelak.
 
Beliau kini bekerja sebagai Jurutera Kualiti MH Multipack Sdn. Bhd. 

MH Multipack adalah satu-satunya syarikat pengeluar sistem pembungkusan farmaseutikal SMRAT pertama yang terletak di Juru, Pulau Pinang. 

Skop pekerjaan beliau sebagai seorang Jurutera Kualiti adalah seiring dengan apa yang dipelajari sebagai graduan Teknologi Kejuruteraan dengan latar belakang farmaseutikal. 

Tugasan beliau adalah mengawal selia dan memastikan sistem pembungkusan farmaseutikal yang dihasilkan syarikat mengikut standard ISO 9001 dan farmaseutikal.
 
Harapannya akan terus dapat membantu industri farmaseutikal di Malaysia khususnya dalam proses pembungkusan ubat-ubatan ataupun kosmetik. 

Beliau berharap industri farmaseutikal khususnya dalam bidang pembuatan dapat dikembangkan lagi ke Sarawak pada masa akan datang. 

Hal ini dapat mengurangkan kebergantungan terhadap ubat-ubatan dari luar negara dan seterusnya Malaysia dapat menyediakan stok bekalan perubatan yang mencukupi untuk rakyat Sarawak. 

Dengan ini, kekurangan stok dan bekalan farmaseutikal sebagaimana yang berlaku semasa pandemik COVID-19 dapat diatasi.

Disediakan oleh: Nurul Ateeqah Othman, Jabatan Perundangan
 
 

Reports by:
Admin UMP News