Skip to main content

30 staf PPPH bergotong-royong ceriakan Rimba Lestari UMP

Pekan, 18 Ogos 2020 - Seramai 30 staf Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Universiti Malaysia Pahang (UMP) giat menjalankan persiapan menceriakan Rimba Lestari sebagai usaha mengindahkan kawasan kampus dan menyokong program kelestarian kampus hijau. 
Aktiviti pembersihan dan keceriaan ini bermula sejak dua minggu lalu melibatkan aktiviti menyediakan tanda arah, melabel nama pokok dan mengecat lokasi tumpuan sebagai tarikan pengunjung.
Menurut Pengarah PPPH, Dr. Mohamad Idris Ali, Rimba Lestari yang merupakan projek kerjasama antara UMP dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ini terletak di antara bangunan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan  Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).
“Rimba Lestari ini mampu memberi peluang kepada warga UMP untuk sama-sama meningkatkan dan membudayakan amalan kelestarian kampus,” katanya. 
Hadir sama Pro-Pendaftar UMP, Abd Rahman Haji Safie dan Jurutera Kanan JPPH, Ts. Mohd. Nurulakla Mohd Azlan yang juga merupakan Pengurus Tenaga.
Sementara itu, menurut Ts. Mohd. Nurulakla, terdapat 24 jenis pokok rimba dan pokok kayu tropika ditanam yang antaranya ialah Tongkat Ali, Meranti Tembaga, Cengal, Beruas, Ketapang, Jelutung, Simpoh Air, Meranti Rambai Daun, Sungkai, Pokok Peluru dan banyak lagi. 
“Dengan adanya label di setiap pokok membolehkan para pengunjung mengenali nama dan jenis pokok yang ditanam di sini,” katanya. 
Dalam pada itu, sebagai menyemarakkan lagi semangat kemerdekaaan, UMP turut menganjurkan Program Kembara Lestari bersempena sambutan bulan kemerdekaan peringkat UMP. 
Program berjalan beramai-ramai sambil mengibarkan jalur gemilang bermula dari Dataran Canseleri Tun Abdul Razak dan merentasi Rimba Lestari menuju ke Dusun U itu melibatkan seramai 63 orang staf. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Perhubungan Awam dan Media,  Pejabat Naib  Canselor
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri