Skip to main content

Kembara Prihatin UMPSA santuni komuniti Semporna

SEMPORNA, 31 Julai 2023 - Seramai 27 sukarelawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam kalangan petugas, alumni, Skuad Yayasan UMP dan Rakan Siswa YADIEM berjaya memberi manfaat buat penduduk di Pulau Bum-bum khususnya di kampung Balimbang, Berjasa, Sama-sama dan Berjaya. 

Program yang memfokuskan kepada lima bidang menerusi aktiviti kluster teknologi, khidmat komuniti, pendidikan, kerohanian, dan kluster kepimpinan itu telah berjaya memberikan impak yang besar kepada kehidupan sehari-hari penduduk kawasan ini. 

Ini termasuklah aktiviti gotong-royong Hari Lestari yang berjaya mengumpulkan sebanyak 2916 kilogram sampah. 

Sejak tujuh hari yang lalu, program Kembara Prihatin@Semporna itu telah berjaya menjalankan pelbagai aktiviti dan inisiatif yang bertujuan membantu dan meringankan beban komuniti di kawasan Pulau Bum Bum dan Pulau Mabul, Semporna.

Kembara Prihatin UMPSA santuni komuniti Semporna

Hadir dalam perasmian Penutup Program Kembara Prihatin UMPSA@Semporna adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Yang Berhormat Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan. 

Turut sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga merupakan Pengerusi Yayasan UMP, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan UMP. 

Kembara Prihatin UMPSA santuni komuniti Semporna

Turut sama hadir ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP, Datin Nur Sharmila Shaheen, Farrah Ain Madzlan, Bendahari, Zainuddin Othman dan Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar. 

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Program Kembara Prihatin ini bukan sahaia memberi bantuan, tetapi juga membina hubungan yang erat dengan ahli komuniti dan sukarelawan yang terlibat. 

“Kegiginan dan semangat gotong-royong sukarelawan dan kelima-lima kluster telah membawa kita lebih dekat dengan hati masyarakat Sabah khususnya di Semporna ini demi mencapai kehidupan yang lebih baik untuk semua seperti peningkatan pendidikan, kebersihan dan kesihatan, serta pembangunan komuniti yang lestari. 

“Selain itu, penganjuran program ini berjaya  memberikan manfaat kepada masyarakat, seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) seperti peningkatan pendidikan, kebersihan dan kesihatan, serta pembangunan komuniti yang lestari. 

“Saya berasa amat terharu melihat semangat sukarelawan dan inisiatif yang telah mereka berikan untuk menyumbang sesuatu manfaat kepada masyarakat yang memerlukan,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, Program Kembara Prihatin adalah satu contoh terbaik untuk melihat bagaimana kerjasama antara kerajaan, pihak swasta dan NGO yang dapat membawa impak yang positif kepada masyarakat.  

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih buat keluarga angkat atas kebaikan hati dan kesediaan untuk membuka pintu rumah dan hati kepada anak-anak UMPSA sebagai keluarga angkat.

Beliau mengharapkan kasih sayang, bimbingan dan sokongan yang tidak ternilai kepada pelajar UMPSA ini akan terus tersemat di hati dan semoga hubungan yang terjalin antara anak-anak UMP dan keluarga angkat akan terus berkembang dan memberi manfaat yang berkekalan. 

Dalam pada itu, Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz berkata, di samping menyantuni dan membawa penjenamaan baharu UMPSA, pihaknya berkeyakinan sepanjang  program ini berjalan, sudah pasti banyak perkara baharu yang telah dipelajari banvak pengalaman yang telah ditempuhi dan pelbagai cara hidup baharu turut diterokai.

“Ia juga selari dengan hasrat dalam mendekatkan universiti kepada komuniti dan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ agar kewujudan UMP dirasai dan manfaat kepakaran dinikmati penduduk setempat. 

“Perkongsian budaya ini akan mendidik  pemikiran pelajar  menjadi lebih terbuka, mempunyai sifat toleransi yang tinggi, berusaha untuk saling memahami dan menghormati walaupun terdapat perbezaan amalan, kepercayaan, identiti dan juga nilai kehidupan.

“Selain itu, program ini juga menyokong usaha UMPSA yang menjadikan aktiviti kesukarelawanan menjadi agenda penting dalam melahirkan pelajar yang berketerampilan dan warga UMPSA yang prihatin,” ujarnya. 

Antara program yang dijalankan adalah Program Hala Tuju Pelajar selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Projek STEAM dan StreetScience, aktiviti pembelajaran luar bilik darjah dan program Motivasi INSPIRE bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Bum-bum. 

Turut diadakan aktiviti Sembang Pemimpin Muda ke Arah  Kemajuan Negara,  reruai Fakulti UMP-IKM Kolej Komuniti, Tuisyen Komuniti bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Balimbang dan Bantuan Pendidikan Kalkulator Saintifik serta Pek Persekolahan di SMK Bum-bum.

Kembara Prihatin UMPSA santuni komuniti Semporna

Manakala aktiviti Forum Perdana, gunting rambut percuma, sukaneka, pertandingan memasak dan  rewang bersama ADABI mendapat sambutan yang amat menggalakkan. 

Dalam pada itu, UMPSA turut menyumbang sebanyk sepuluh tong air untuk kegunaan komuniti di Pulau Bum-bum dan Pulau Mabul. 

Program yang berlangsung mulai 23 Julai  hingga 2 Ogos 2023 itu  dapat  membantu pembangunan komuniti setempat di samping menyantuni dan membawa penjenamaan baharu UMPSA. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komuniti Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit