Skip to main content

Yayasan UMPSA dan alumni tabur bakti komuniti di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 24 Mac 2024 - Seramai 44 sukarelawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kilau turun padang menjayakan program amal Secangkir Budi Siri Ke-9 dengan kerjasama Alumni UMPSA. 

Program itu bertujuan untuk berkongsi rezeki hasil sumbangan orang ramai kepada komuniti yang kurang berkemampuan di sekitar Kuala Lumpur.

Antara lokasi yang dikunjungi termasuklah Pusat Kebajikan Ahsana, Persatuan Kebajikan Anak Kepada Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM), dan Pusat Jagaan Baitul Hidayah. 

Di samping itu juga, bantuan kit makanan dan pakaian terpakai juga turut disalurkan di Lorong Haji Taib.

Menurut Alumni UMPSA, Muhammad Izuddin Ismail, bermula dengan mengunjungi Persatuan Kebajikan Ahsana dan PERNIM Kuala Lumpur di Taman Puchong Indah, kami dapat beramah mesra bersama warga Orang Kelainan Upaya (OKU) dan anak-anak di sana.

Yayasan UMPSA dan alumni tabur bakti komuniti di Kuala Lumpur

“Selain itu, Skuad Yayasan UMPSA dan alumni turut berpeluang berbuka puasa bersama 50 orang penghuni Pusat Jagaan Baitul Hidayah di Kampung Baru Sri Puchong. 

“Walaupun masa yang terluang agak singkat, para sukarelawan secara tidak langsung dapat menjalinkan ukhuwah bersama dengan anak-anak yatim dan juga asnaf.

“Meskipun para sukarelawan kepenatan, namun mereka tetap kekal bertenaga dalam usaha membantu golongan yang memerlukan ini,” katanya. 

Projek Secangkir Budi itu juga turut menyediakan sebanyak 60 pek kit bantuan makanan, barangan terpakai (preloved) seperti pakaian, permainan kanak-kanak dan barangan keperluan diri kepada golongan yang kurang bernasib baik di sekitar Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur. 

Selain memberikan bantuan secara langsung kepada individu yang memerlukan, sukarelawan juga turut mengatur agihan makanan untuk singgah sahur di Balai Bomba Chow Kit, Balai Polis Chow Kit, dan IPD Dang Wangi. 

Ini merupakan langkah yang penting dalam membantu mereka yang berpuasa dalam bulan Ramadan.

Program ini juga berhasil mengumpulkan sumbangan sebanyak RM12,600.00 melalui sumbangan orang ramai yang dikumpulkan oleh alumni UMPSA dan Skuad Yayasan UMPSA selama satu bulan sebelum program ini dilaksanakan. 

Hasil sumbangan tersebut telah diagihkan seperti kit bantuan makanan, baju uniform, beberapa barangan elektrik, agihan duit raya, sumbangan tunai, sumbangan tambahan barang dapur, barang penjagaan diri, hamper, makanan ringan, dan berbagai jenis goodies.

Semoga inisiatif  ini berterusan untuk memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat.

Menurut Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd Jamil Mohd Ja’afar, kejayaan program ini tidak hanya bergantung kepada jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan tetapi juga kepada kesan positif yang dapat dirasai oleh komuniti yang disantuni. 

“Melalui kerjasama antara Yayasan UMPSA dan alumni UMPSA, mereka telah berjaya memberikan bantuan yang amat diperlukan kepada individu dan keluarga yang kurang bernasib baik”.

“Semoga semangat kebaikan ini akan terus berkobar dan memberikan inspirasi kepada lebih ramai individu untuk terlibat dalam aktiviti amal,” katanya. 

Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Alumni UMPSA

Reports by:
Admin UMP News