Skip to main content
UMPSA lahir 35 graduan perintis Sarjana Muda Teknologi Automotif

UMPSA lahir 35 graduan perintis Sarjana Muda Teknologi Automotif

GAMBANG, 21 Oktober 2023 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melakar sejarah apabila buat julung kali meraikan graduan kumpulan pertama Sarjana Muda Teknologi Automotif pada Majlis Konvokesyen Ke-18 UMPSA baru-baru ini. 

Seramai 35 graduan Sarjana Muda Teknologi Automotif telah berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang malah ramai antara mereka turut menerima anugerah universiti di majlis konvokesyen tersebut. 

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Tr. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, pengambilan pertama bagi program yang dimulakan sejak tahun 2019 itu, UMPSA merupakan satu-satunya universiti MTUN yang membuka peluang kepada graduan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang ingin mengambung pengajian di peringkat sarjana muda.

“Lebih menariknya pelajar-pelajar ini akan mengikuti program Work Based Learning (WBL) yang merupakan pendekatan pembelajaran yang menggabungkan pembelajaran di universiti dengan pembelajaran di industri bagi mewujudkan pengalaman bersepadu (teori dan praktikal) selama setahun.
 
“Semasa di industri, pelajar akan mempunyai mentor industry.

“Mentor inilah yang akan membimbing pelajar dalam kursus-kursus yang dilaksanakan di industri.  

“Syukur, dalam tempoh empat tahun, kumpulan pertama ini berjaya menamatkan pengajian masing-masing dengan cemerlang,” katanya. 

Malah lebih membanggakan empat daripada mereka ini meraih anugerah-anugerah di majlis konvokesyen antaranya seperti Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) yang diraih oleh Muhammad Ambri Mohd Shaari, Anugerah Kecemerlangan UMW Holding Bhd. diraih oleh Muhammad Akmal Alif Ahmad Takim, 

Norkhairil Benjyamin Nazeri telah meraih Hadiah Inovasi Projek Sarjana Muda PSM Terbaik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) manakala Muhammad Hazimin Hazizan pula telah meraih Hadiah Kecemelangan Program FTKMA. 

Menurut Muhammad Ambri Mohd Shaari, dengan kejayaan beliau dan rakan-rakan seperjuangan dapat membuktikan lepasan Kolej Vokasional (KV) boleh berjaya hingga ke menara gading dan berjaya mendapat pekerjaan di industri. 

UMPSA lahir 35 graduan perintis Sarjana Muda Teknologi Automotif

“Terima kasih kepada UMPSA yang memberi peluang kepada golongan seperti kami untuk terus menempa kejayaan. 

Manakala rakannya, Muhammad Akmal pula berkata pilihan menyambung pengajian di UMPSA merupakan pilihan yang tepat walaupun pada awalnya berbelah bahagi sama ada untuk menyambung pengajian atau bekerja. 

UMPSA lahir 35 graduan perintis Sarjana Muda Teknologi Automotif

“Sebagai kumpulan perintis dalam program ini, saya akui pada awalnya banyak cabaran yang ditempuhi kerana sukar mencari sumber rujukan tambahan pula ketika itu wabak COVID-19 melanda negara. 

“Berkat kesabaran dan ketabahan, kami semua dapat melalui liku-liku perjalanan dan meraih kejayaan di UMPSA,” katanya yang kini sedang berkhidmat sebagai Design Engineer di Syarikat Move Robotic Sdn. Bhd. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris