Skip to main content

Ahmad Haidir berbakat besar dalam mendeklamasi sajak

PEKAN, 9 Disember 2020 - Minat yang mendalam terhadap deklamasi sajak mendorong pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ahmad Haidir Muhamad, 23, mengambil bahagian dan terpilih mewakili universiti dalam Pertandingan Sayembara Deklamasi Sajak IPT 2020 yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Nasib menyebelahi beliau apabila berjaya dipilih antara sepuluh peserta terbaik daripada 89 orang peserta dalam keputusan yang diumumkan baru-baru ini. 

Pertandingan ini turut memberi peluang dan ruang kepada para pelajar untuk menzahirkan rasa kecintaan mereka terhadap tanah air melalui penulisan sajak.

Berkongsi pengalaman berharga, pelajar jurusan Fakulti Pengurusan Industri (FPI) itu berkata, minat dan pembabitannya dalam bidang deklamasi sajak ini bermula semenjak di bangku sekolah lagi dengan dilatih secara intensif oleh guru sekolah beliau iaitu Mohd Shariff Mohd Badar.

“Saya mulai minat dan menyertai bidang deklamasi sajak ini ketika di Tingkatan 5. 

“Pada waktu itu, saya menyertai pertandingan peringkat daerah dan mendapat tempat pertama. 

“Sejak itu, saya sering dijemput oleh pihak NGO untuk mengadakan persembahan pada tarikh 31 Ogos untuk menyampaikan sajak di khalayak ramai,” katanya.

Tambah beliau lagi, UMP pernah menjemput beliau ketika berusia 17 tahun untuk membuat persembahan sajak dan persembahan sketsa.

“Saya diberi tugasan untuk membuat dua persembahan ketika itu dan menerima bayaran RM50 bagi setiap persembahan,” katanya. 
Berkongsi pengalamannya dalam pertandingan itu, Ahmad Haidir berkata dari segi persediaan memang agak mencabar. 

“Pertama sekali saya perlu menghafal puisi untuk diterjemahkan dalam bentuk penyampaian.

“Selain itu, latihan vokal perlu dibuat sehingga berjaya mendapatkan nada yang sesuai dan sentiasa mencari masa terluang untuk berlatih. 

“Manakala untuk merakam video juga terpaksa mengambil masa yang agak panjang. Saya terpaksa merakam video berulang kali untuk mendapatkan hasil yang terbaik,” ujar anak ke-7 daripada 12 beradik ini.

Menurut Haidir, pada tahun 2019 beliau menyertai Pertandingan Sajak Terbuka Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Perpustakaan Negeri Pahang. 

Selain itu, beliau turut dijemput pihak luar untuk mengadakan persembahan termasuklah di perkampungan Felda Chini 4 dan Gambang Resort.

Anak kelahiran Pahang itu menjelaskan fokus terhadap pelajaran tetap menjadi keutamaan dan beliau sentiasa mengamalkan pengurusan masa secara sistematik. 

Ilmu bahasa, karya kreatif dan pengucapan awam ini memberi peluang kepada beliau meningkatkan nilai tambah dalam diri sebelum melangkah ke alam kerjaya.

Pertandingan ini menyaksikan peserta daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurul Jannah Md Nasir meraih johan manakala Mohd Ariff Fadilah Sahrulpadillah daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dinobatkan sebagai naib johan. 

Mohammad Hakimi Mohamad Rejab daripada Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pula di tempat ketiga.

Disediakan Oleh: Juwairiah Osman, Pusat Bahasa Moden dan Siti Nur Azwin Zulkapri, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri