Skip to main content

Pelajar FK berjaya bawa pulang hadiah sagu hati dalam Huawei ICT Competition 2022-2023

KUALA LUMPUR, 24 November 2022 - Pasukan Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang terdiri daripada Chin Yung Chee, Nur Atiqah Kamal dan Amir Muhammad Hafiz Othman berjaya membawa pulang hadiah sagu hati bernilai RM600 dalam pertandingan Huawei ICT Competition 2022-2023 yang berlangsung di Hotel Parkroyal Collection Kuala Lumpur baru-baru ini.
 
Menurut Chin Yung Chee yang merupakan ketua pasukan berkata, pihaknya membuat persediaan awal dengan meneliti bahan yang diberikan oleh jurulatih dan tutor pasukan, Dr. Anis Farihan Mat Raffei.
 
“Kami juga mempelajari kursus-kursus yang diperlukan mengikut sukatan topik dalam pertandingan. 

“Selain itu, kami mengikuti strategi yang telah dirangka oleh pensyarah kanan FK yang merupakan pengurus pasukan, Ts. Dr. Hoh Wei Siang dan menyediakan semua alatan yang diperlukan untuk pertandingan ini,” katanya.
 
Ujarnya, kejayaan ini didorong suntikan semangat daripada tutor dan pengurus pasukan selain kerja berpasukan juga merupakan faktor utama kejayaan.  
 
Melalui pertandingan ini juga, kumpulannya berjaya mengikuti program pentauliahan profesional Huawei ICT Associate (HCIA).  

Bagi Ts. Dr. Hoh Wei Siang, pertandingan ini mampu memupuk bakat ICT tempatan dan membangunkan pemimpin ICT untuk generasi akan datang. 

“Selain itu ia mampu untuk meningkatkan kecekapan dan daya kreativiti pelajar dalam menguasai bidang ICT,” ujarnya. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit