Skip to main content

Pelajar UMPSA anjur program Perwira untuk Bumi Pertiwi

KUANTAN, 9 September 2023 - Seramai 37 orang pelajar Asasi Sains dan Teknologi (AST), Pusat Sains dan Matematik (PSM), Universiti Malaysia Pahang Al–Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan program Perwira Untuk Bumi Pertiwi bersama Sekolah Kebangsaan Pandan, Kuantan baru–baru ini.

Seramai 100 orang murid tahun 5, tahun 6, guru–guru SK Pandan dan ibu bapa turut melibatkan diri dengan aktif dalam program itu. 

Program Perwira Untuk Bumi Pertiwi itu diadakan untuk mengaplikasi dan mempraktikkan ilmu dan kemahiran insaniah yang dipelajari di dalam subjek Talent Management (UQF1012). 

Program tersebut turut diadakan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan warga pendidik dan menggalakkan peranan masyarakat serta komuniti dalam membentuk sahsiah dan keperibadian murid. 

Program sehari itu diselitkan dengan gotong-royong MADANI 2023 yang merupakan amanah YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Pelajar UMPSA anjur program Perwira untuk Bumi Pertiwi

Kerja–kerja seperti mengecat, pembersihan longkang, perlupusan aset–aset sekolah, pembaikan dan penyelenggaran, menanam pokok telah dijalankan secara serentak bagi membersihkan dan menceriakan lagi imej sekolah. 

Pada masa yang sama, murid-murid turut berpeluang menerokai pengetahuan baharu mengenai budaya dan pakaian tradisional Melayu. 

Pelajar AST yang bertindak sebagai fasilitator program telah memberi tunjuk ajar tentang cara memakai tanjak bagi lelaki dan selempang bagi perempuan. 

Para murid juga turut berkesempatan memperagakan hasil buatan tanjak dan selempang mereka di dalam karya video kreatif di penghujung program. 

Turut berlangsung Majlis Menandatangani Sijil Perjanjian Jalinan Kerjasama antara PSM UMPSA dan SK Pandan sebagai langkah signifikan dalam mengukuhkan hubungan kolaborasi antara kedua-dua belah pihak.

Turut hadir sama Guru Besar SK Pandan, Siti Sara Mohamed Hamdan.

Hadir sama Ketua Program AST, PSM, Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Mohd Kasim dan Pensyarah subjek Talent Management (UQF1012), Haslinda Hashim. 

Disediakan oleh: Haslinda Hashim, Pusat Sains Kemanusiaan dan Nur Balqis Husna Idris, Pusat Sains & Matematik

Reports by:
Admin UMP News