Skip to main content

15 graduan Program Khas Pemantapan Bakat Pengurusan dan Profesional terima MBA

PAYA BESAR, 5 November 2022 - Kesibukan bekerja dan pada masa yang menyambung pengajian sarjana bukan halangan bagi 15 staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk menamatkan pengajian program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) secara separuh masa yang ditawarkan khas buat staf UMP pertama kalinya ini. 

Majlis Konvokesyen UMP Ke-17 kali ini menyaksikan seramai 15 graduan perintis program MBA berjaya menerima ijazah sarjana masing-masing daripada Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor pada hari pertama konvokesyen. 

Turut sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

15 graduan Program Khas Pemantapan Bakat Pengurusan dan Profesional terima MBA

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, program di bawah Fakulti Pengurusan Industri (FIM) ini menyediakan pelan pembangunan bakat secara sistematik untuk warga kerja meningkatkan ilmu dalam pengurusan dan kemahiran dalam pentadbiran universiti. 

“UMP memperkenalkan Program Khas Pemantapan Bakat Pengurusan dan Profesional (Pentadbiran) ini buat warga kerja bagi meningkatkan ilmu pengurusan.

“Pelaksanaan pembangunan modal insan dan pengurusan bakat ini selaras dengan kepentingan pembangunan sumber manusia pendidikan tinggi dan dunia kesarjanaan ke arah pemantapan penyampaian kerja berprestasi tinggi pada masa depan.

“Selain itu, program ini dapat menumpukan kepada keterampilan kepemimpinan, kepuasan pelanggan, kepintaran dalam pengoperasian dan kemahiran insaniah dengan pendekatan baharu,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Program MBA FIM, Dr. Suhaidah Hussain berkata, sepanjang pengajian, para pelajar memberikan komitmen yang tinggi dalam menyiapkan tugasan bagi setiap kursus dan berjaya mempamerkan peningkatan kompetensi sebagai pengurus melalui penilaian kursus seperti kajian kes, pembentangan dan projek akhir.  

15 graduan Program Khas Pemantapan Bakat Pengurusan dan Profesional terima MBA

“Di samping itu, mereka juga berjaya mencadangkan penambahbaikan di jabatan-jabatan masing melalui kursus projek pada akhir semester. 

“Malahan, projek akhir pelajar MBA UMP ini boleh diaplikasi di jabatan masing-masing sekali gus akan membantu dalam meningkatkan mutu perkhidmatan jabatan di dalam university,” katanya. 

Sementara itu, bagi Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Dr. Khairul Salleh Abdul Basit yang mengikuti pengajian berkata, kebanyakan masa diperuntukkan  pada sebelah malam untuk mengulang kaji pelajaran serta membaca kajian kes dalam setiap subjek seperti Strategic Management, Operation Management dan Supply Chain Management.

Begitu juga dengan Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar berkata, sungguhpun jadual terikat dengan pelbagai program, kebersamaan dan semangat membantu rakan lain banyak membantu. 

Namun bagi Nor Ilma Mustafa Kamal dari Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA) berkata, pengalaman menyambung pengajian dalam tiga fasa pandemik COVID-19 iaitu sebelum pandemik, sewaktu pandemik berlaku dan selepas pandemik sungguh mencabar. 

“Semasa COVID-19 bermula, terlalu banyak ketida tentuan yang dihadapi, selain daripada terpaksa berkurung di rumah dan semua  kelas dijalankan secara dalam talian termasuk peperiksaan. 

“Keadaan ini turut menjejaskan kesihatan mental apatah lagi pada masa yang sama bekerja dan beliau sedang mengandungkan anak kedua. 

“Manakala fasa ketiga selepas sekatan pergerakan ditamatkan, bermulalah tempoh untuk menyiapkan projek MBA dan mencabarnya adalah untuk mendapatkan sampel kajian adalah sangat sukar dan akibat kesuntukan masa serta tajuk projek yang agak asing bagi mencapai target sampel,” katanya. 

Namun kini katanya, usahanya berbaloi dengan bantuan rakan-rakan pengajian, pensyarah di fakulti dan juga keluarga semuanya dapat diatasi dan bergraduasi mengikut masa yang ditetapkan. 

Disediakan oleh Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit