Skip to main content

Graduan terkilan hasrat nenek tidak kesampaian raikan konvokesyen

PAYA BESAR, 6 November 2022 – Tatkala graduan lain bergembira dengan kehadiran kedua ibu bapa dan ahli keluarga di Majlis Konvokesyen, lain pula dengan kisah graduan Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Nur Shafiqah Zakaria, 25 yang rasa terkilan apabila hasrat arwah nenek melihat kejayaannya menerima ijazah di Majlis Konvokesyen UMP Ke 17 baru-baru ini  tidak kesampaian. 

Anak sulung daripada dua adik-beradik itu mengakui berat dugaan yang dilaluinya, arwah ayah meninggal dunia ketika umurnya  empat tahun dan adiknya berusia 40 hari. 

Katanya, kemudian, ketika berumur sembilan tahun,  ibunya pula meninggal dunia dan ketika itu usia adik lelakinya baharu sahaja  berumur empat tahun. 

“Bergelar anak yatim piatu ketika saya masih kanak-kanak merupakan suatu perkara yang amat menyedihkan. 

“Namun, kami bersyukur kerana tinggal dengan nenek di Terengganu. 

“Neneklah yang memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada saya dan adik. 

“Adakala saudara mara turut membantu kami,” ujarnya. 

Masih segar lagi di dalam ingatan, ketika beliau  dapat tawaran menyambung pengajian di UMP, arwah nenek merupakan  insan yang paling gembira dan sentiasa memberi kata semangat untuk berjaya.

Pada mulanya Nur Shafiqah sukar untuk membuat keputusan untuk menyambung pengajian kerana mengenangkan kos di sepanjang pengajian nanti.  

“Alhamdulillah, saya dapat bantuan dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan UMP, jadi dapatlah meringankan beban arwah nenek.

“Kegembiraan kami terbantut apabila nenek jatuh sakit pada akhir semester dalam pengajian dan seminggu sebelum peperiksaan saya menjaga arwah nenek di hospital,” katanya sambil menahan sebak. 

Beliau pada masa itu tekad untuk sentiasa berada di sisi arwah nenek. 

Graduan terkilan hasrat nenek tidak kesampaikan raikan konvokesyen

Namun katanya pada 26 Januari 2021, arwah neneknya menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu.

“Sejujurnya tipulah kalau tidak rasa berputus asa tetapi saya  tetap kuatkan semangat kerana mahu buktikan kejayaan pada arwah nenek dan menjadi sumber kekuatan untuk adik. 

“Saya sentiasa berpegang kepada Allah SWT bahawa Allah tidak akan uji kalau kita tidak mampu. 

“Saya sentiasa memujuk hati agar tidak terlalu mengikut perasaan dan yakin percaturan Allah SWT adalah sebaik-baiknya,” katanya. 

Nur Shafiqah ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara mara, pensyarah UMP dan rakan-rakan yang sentiasa berada di sisi saat memerlukan. 

Kini beliau bertugas sebagai Eksekutif Junior Protégé-GEES di Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sejak Ogos lalu.

Beliau ditemani suami, Mohamad Hafizi Harun, saudara mara dan adiknya yang hadir pada Majlis Konvokesyen yang penuh memberi makna ini. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris