Skip to main content

Kekuatan ayah pembakar semangat buat Wan Nur Ainna raih Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang

PAYA BESAR, 5 November 2022 – Kehilangan ibu tercinta, Maisarah Hilal Mohd Alwi pada tahun akhir pengajian diploma akibat penyakit strok membuatkan Wan Nur Ainna Amirah Wan Zulkifli kembali bangkit dalam meneruskan pengajian ijazah sarjana muda.
 
Ujarnya, semangat ayahnya, Wan Zulkifli Wan Abdullah, 57 yang bekerja sendiri menjadi pembakar semangat buat beliau untuk meraih anugerah dekan pada setiap semester.
 
“Anugerah ini juga saya tujukan buat arwah mak saya,” katanya. 
 
Wan Nur Ainna menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), 3.78 sekaligus melayakkan beliau untuk memperoleh Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang yang disampaikan oleh Pro Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor sempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-17.
 
Anak bongsu dari empat adik-beradik ini kini menyambung pengajian dalam program sarjana di UMP.

Kekuatan ayah pembakar semangat buat Wan Nur Ainna raih Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang

Manakala bagi anak kelahiran Muadzam Shah, Pahang, Nur Fauzana Raihana Fouzi yang turut menerima Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang pula berkata, mendapat Anugerah Akademik Terbaik (Best Academic Award) dalam Majlis Makan Beradat sempena Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Udara antara kenangan terindah sepanjang menuntut di UMP.
 
“Meskipun jadual yang padat dengan aktiviti pembelajaran namun ia tidak menghalang saya untuk bergiat aktif dalam kokurikulum.
 
“PALAPES bukan sahaja mengajar ilmu ketenteraan tetapi turut menekankan aktiviti khidmat bakti kepada masyarakat.
 
“Sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia menjadi prinsip hidup saya,” ujar anak ketiga daripada lima adik-beradik ini.
 
Turut menerima Hadiah Kecemerlangan Yayasan Pahang ialah Fong Yunn Ee graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek (Kepujian), Syaza Irdina Sukri graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Kimia Industri dan Nur Fatin Alieysa Mohd Nasir graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian).

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim