Skip to main content

Nur Harizah dan Chew Yee Ping terima Anugerah Emas Universiti

GAMBANG, 5 November 2022 – Dua orang graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Nur Harizah Mohd Nadzmi, 23 dan Chew Yee Ping, 21 menerima Anugerah Emas Universiti daripada Pro-Canselor, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohemed Nor pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-17 yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang.

Nur Harizah graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Teknologi Bahan dari Fakuli Sains dan Teknologi Industri (FIST) itu memperoleh PNGK 3.83.

Anak jati kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu juga pernah menerima Anugerah Kecemelangan pelajar FIST dan juda Anugerah Dekan bagi setiap semester. 

Nur Harizah dan Chew Yee Ping terima Anugerah Emas Universiti

Katanya, usaha kerasnya membuahkan hasil dan dia berbangga dapat memberikan kegembiraan buat ibu bapa melalui kejayaan cemerlang dalam pengajian.

“Anugerah ini saya tujukan khas buat ibu saya, Hawa, 58 dan bapa Mohd Nadzmi, 57 dan rakan-rakan yang banyak berdoa, berkorban dan sanggup berhabis duit bagi memastikan saya berjaya dalam pelajaran.

“Ketika pandemik COVID-19 mula melanda, saya amat tertekan dengan pembelajaran di rumah dan membuatkan saya hilang fokus.

“Mujurlah hanya satu semester sahaja saya belajar di rumah dan kembali ke kampus kerana memerlukan penggunaan makmal,” katanya. 

Beliau berkata, kejayaan tersebut juga adalah hasil bimbingan para pensyarah UMP yang tidak jemu memberikan tunjuk ajar meskipun dibatasi jarak dan mengikuti kelas secara dalam talian.

Semasa di UMP, beliau pernah memegang jawatan sebagai Exco Multimedia dan fasilitator untuk Program Saintis Turun ke Desa (2018), Exco Demo Pendekar 3.0 untuk Silat Olahraga, sukarelawan untuk SUKFAC, sukarelawan khidmat komuniti Program Jom Masuk Kampung anjuran Youth of Strength and Happiness (YOSH), dan Exco Logistik 2nd Intenational Elgineers Chess Championship.

Anak keenam daripada lapan orang adik-beradik ini cukup gemar membaca novel dan mendengar muzik.

Beliau sebelum ini pernah menjalani latihan industri (LI) di Optics Balzers Malaysia Sdn. Bhd., Seberang Perai, Penang sebagai Jurutera Pengeluaran Intern.

Anak muda berwawasan tinggi ini sentiasa mempunyai matlamat untuk terus maju ke hadapan

Katanya, pendekatatan pembelajaran dan kandungan kokurikulum di UMP sangat berkualiti dan menyenangkan para pelajar untuk memilih bidang pekerjaan yang ingin diceburi secara meluas.

“Malah, kaedah penyampaian di dalam kuliah juga amat memuaskan dan kemudahan yang disediakan oleh UMP juga sangat lengkap,” katanya. 

Seorang lagi graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal iaitu Chew Yee Ping pula berbangga apabila berjaya merealisasikan impian menggenggam skrol pada majlis ini. 

Menurut anak kelahiran Skudai Johor itu adalah tidak mudah baginya untuk mendapatkan Anugerah Emas Universiti, susulan menghadapi pelbagai masalah ketika mengikuti pengajian secara dalam talian ketika tempoh pandemik COVID-19.

Nur Harizah dan Chew Yee Ping terima Anugerah Emas Universiti

“Walaupun sesi pengajaran dilaksanakan secara dalam talian, saya masih mampu untuk memahami apa yang disampaikan oleh pensyarah UMP.

“Belajar ketika pandemik COVID-19 bukanlah senang, ia memerlukan disiplin yang tinggi untuk terus fokus di dalam kelas.

“Malah, tugasan berkumpulan juga menjadi sukar untuk disiapkan kerana semua perkongsian maklumat hanya boleh disampaikan melalui Google Meet dan Whatsapp sahaja,” katanya yang mempunyai hobi berenang. 

Beliau yang memegang kepada prinsip ‘Work Hard, Play Harder’, itu memperoleh PNGK 3.95 dan kini melanjutkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Bahan) dengan Kepujian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Anak bongsu kepada pasangan Maria Glenda Tampon Alforque, 54 dan Chew Boon Kiong, 54 itu juga pernah menerima Anugerah Dekan untuk setiap semester.

Katanya, keluarga merupakan penyokong dan pendorong utamanya ketika beliau mengalami tekanan.

“Mereka sentiasa ada di samping saya dan banyak menasihati saya jika saya mempunyai masalah yang tidak dapat diselesaikan.

“Malah, para pensyarah UMP juga sentiasa membantu saya dan mereka sangat berkualiti kerana sanggup untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar,” ujarnya yang berhasrat untuk bekerja di syarikat multinasional setelah selasai pengajian di UTM. 

Ketika belajar di UMP, beliau turut aktif di dalam aktiviti kokurikulum dan persatuan iaitu sebagai Exco Unit Eksekutif, Mandarin Language Society (MLS) (2000-2021), Exco Unit Logistik, Mandarin Language Society (MLS) (1999-2000) dan Ahli Jawatankuasa Protokol Pesta Tanglung Keenam. 

Majlis yang berlangsung pada 5 hingga 8 November itu menyaksikan seramai 4,535 graduan ijazah dan diploma menamatkan pengajian masing-masing pada tahun 2022.

Ia terdiri dariada 251 graduan Doktor Falsafah dan sarjana serta seramai 3,065 graduan sarjana muda dan diploma.

Manakala seramai 1,219 graduan UMP Advanced turut berjaya menamatkan pengajian. 

Disediakan oleh Safriza Baharuddin, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Safriza binti Baharuddin