Skip to main content

Pasangan graduan pengantin baharu naik pentas konvokesyen UMP

PAYA BESAR, 6 November 2022 – Pasangan pengantin baharu, Muhammad Shafinaim Akmal Zukifli dan Nur Shahida Azzahra Mohd Zamri berkongsi kegembiraan berganda apabila berkongsi pentas pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-17 selang sehari selepas naik pelamin sebagai pasangan suami isteri.

Lebih bermakna, pasangan ini dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik pada waktu yang sama bertempat di Dewan Kompleks Sukan UMP.

Menurut pasangan berusia 25 tahun itu, tarikh perkahwinan sambut menantu di Kulim, Kedah itu telah lama dirancang namun masih bersyukur ia dapat dijalankan walaupun sehari sebelum majlis konvokesyen berlangsung.

Tambah Nur Shahida, walaupun kepenatan menguruskan persiapan perkahwinan dan majlis graduasi dalam waktu yang sama, mereka tetap gembira dan teruja kerana kedua-duanya saat paling bermakna dalam hidup mereka.

Pasangan graduan pengantin baharu naik pentas konvokesyen UMP

Namun, di sebalik kegembiraan ini, terselit kisah sedih apabila ibu bapanya tidak dapat ke majlis konvokesyen kerana kerosakan kenderaan mereka setibanya mereka di Jeli.

Menurut ceritanya, seusai majlis perkahwinan di Kulim, ayah dan ibunya berhasrat pulang ke rumah di Kelantan terlebih dahulu sebelum bergerak ke Pahang untuk menghadiri majlis konvokesyen ini. 

“Namun, sebaik tiba di Jeli, kereta ayahnya mengalami kerosakan teruk akibat terlanggar lubang sehingga mengakibatkan kedua-dua tayar kenderaan mereka pecah dan tidak bergerak.

“Sedih juga mengenangkan ayah dan ibu tiada di sisi saat majlis konvokesyen. 

“Namun, bersyukur UMP ada menyiarkan majlis ini secara langsung di Facebook. 

Pasangan graduan pengantin baharu naik pentas konvokesyen UMP

Jadi ayah dan ibu dapat menyaksikan saya dan suami naik ke pentas,” kata Nur Shahida.

Beliau juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah dan pihak UMP kerana telah banyak membantu sepanjang pengajian di UMP. 

Selain itu, beliau juga amat menghargai jasa ayah dan ibu yang menjadi sumber kekuatan serta sentiasa  memberi sokongan dan  nasihat buat mereka berdua.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris