Skip to main content

Wong Yoke Bing terima Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (LJM)

PAYA BESAR, 6 November 2022 – Graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Wong Yoke Bing menerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-17 yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan UMP.

Wong Yoke Bing graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) itu memperoleh CGPA 3.97.

Anak bekas pemandu lori yang berasal dari Negeri Sembilan itu mempunyai impian untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang Kejuruteraan dan menjadi seorang jurutera yang hebat. 

Menurutnya, mendapat peluang untuk mengikuti program Kejuruteraan Kimia di UMP adalah satu langkah permulaan yang baik bagi beliau.

Wong Yoke Bing terima Hadiah Kecemerlangan Akademik Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (LJM)

“Penyumbang utama kejayaan adalah kesungguhan dalam menggapai apa yang diinginkan, bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.

“Anugerah ini saya hadiahkan buat ibu saya, Choong Soon Cheng, 62 dan bapa Wong Kam Keng, 62, yang selama ini berkorban masa dan tenaga bagi memastikan kami adik-beradik menerima pendidikan yang sempurna demi masa depan yang baik kelak,” katanya.

Semasa di UMP, selain daripada menuntut ilmu pengetahuan teknikal dalam bidang kejuruteraan, beliau juga turut menyertai kelab seperti kelab bola keranjang untuk membangunkan kemahiran insaniah yang begitu bermakna dan tidak dapat dilupakan. 

Beliau juga dapat bertemu dengan ramai kawan yang berbilang bangsa.

Ujarnya, ketika pandemik COVID-19 mula melanda, beliau amat tertekan dengan pembelajaran di rumah dan membuatkannya hilang fokus.

“Cabaran ketika pandemik COVID-19 adalah pembelajaran paling sukar berbanding pembelajaran secara bersemuka,” katanya berkongsi pengalaman. 

Akan tetapi beliau tetap bersyukur kerana dapat mengharungi detik-detik itu dengan baik dan terkawal.

Kejayaan ini juga adalah hasil bimbingan para pensyarah UMP yang tidak jemu memberikan tunjuk ajar meskipun dibatasi jarak dan mengikuti kelas secara dalam talian.
 
Katanya, UMP menyediakan persekitaran yang memuaskan untuk pelajar fokus dalam pembelajaran dan melibatkan diri dalam pelbagai organisasi pelajar dan bukan sahaja dari aspek kemaharan keras, tetapi juga kemahiran insaniah.
 
“Ketika di UMP, saya pernah menyandang jawatan sebagai Presiden, Kelab Bola Keranjang UMP (2019/2020 dan 2020/2021), Pengarah, My Dream Team Design Competition 2021 dan atlet, Bola Keranjang Higher Education Sports Fest (HESF) 2019.
 
“Selain itu saya pernah memenangi pingat emas dalam Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2022 dan turut menyertai 12th Malaysian Technical Universities Conference on Engineering & Technology (MUCET2021)
 
Beliau amat meminati aktiviti kurikulum dan ekstrakurikuler.

“Apabila minat mengusai diri, saya sanggup luangkan masa untuk semua itu.

“Pengurusan masa yang baik adalah sangat penting bagi setiap pelajar yang ingin berjaya.

“Kita kena tabah dan jangan mudah berputus asa dengan sesuatu yang kita minat. 

“Harungi setiap halangan kerana halangan pasti boleh diatasi,” ujarnya.

Anak bongsu daripada empat adik-beradik ini berhasrat ingin menjadi seorang pemimpin yang boleh mempengaruhi orang lain dan menyumbang bakti kepada masyarakat.

“Kini, UMP telah merealisasikan impian saya untuk menjadi seorang jurutera dan terima kasih, UMP,” katanya. 

Disediakan oleh: Norhidayah Mohamad, Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Norhidayah binti Mohamad