Skip to main content

107 Pelajar terima bantuan kelengkapan sekolah sumbangan Alumni UMP dan NGO

Kuantan, 22 Disember  - Seramai 107 pelajar sekitar Kuantan teruja memilih sendiri pakaian dan kelengkapan sekolah di Pasaraya Hari-Hari di Kuantan menjelang sesi persekolahan yang akan tiba tidak lama lagi.  

Program Ziarah Prihatin ‘Back to School’ 2019 merupakan program tahunan anjuran bersama Persatuan Alumni Graduan UMP (Alumni UMP), Yayasan Ikram Malaysia (Negeri Pahang), I-Bantu Pahang, Ikram Muda Pahang, Hidayah Centre Foundation Pahang, Gema Pahang dan Unit Perhubungan Alumni Jabatan Hal Ehwal pelajar dan Alumni (JHEPA).

Program bertujuan untuk membantu keluarga asnaf zakat, miskin dan saudara baharu (Mualaf)  membuat persediaan untuk menghadapi sesi sekolah sesi 2020.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Alumni UMP yang juga Pengarah Program, Ts. Mohd Najib Razali  berkata,  penerima bantuan ini terdiri anak-anak yang berumur dari 7 hingga 17 tahun daripada keluarga sekitar daerah Kuantan.

“Hasil sumbangan yang berjaya dikumpul adalah sebanyak RM 20, 472.00 hasil daipada orang ramai dan tajaan luar.  Anak-anak ini diberi peluang memilih pakaian sekolah, kasut, beg sekolah dan lain-lain. Selain itu, program ini juga dibantu dan dijayakan oleh para sukarelawan sebanyak 60 orang yang terdiri daripada alumni dan staf UMP, Yayasan IKRAM Pahang dan Hidayah Centre,” katanya.

Hadir sama Timbalan Yang DiPertua Ikram Kuantan, Dr Hajar Fauzan Ahmad, Setiausaha Gema Pahang, Asward Abdul Hafiz Abdul Aziz, Eksekutif Hidayah Centre Foundation Pahang, Wan Mohd Fadhil  Wan Johar dan AJK Yayasan Ikram Pahang, Fazros Md Arif.

Pihaknya berterima kasih dengan pihak penyumbang terutamanya daripada MNR Multitech Sdn Bhd, UMP Holdings Sdn Bhd, ExFoam Insulation Sdn Bhd, Yayasan Ikram, Ikram Muda dan Hidayah Centre Foundation. 

Bersempena dengan program ini juga sebanyak 30 buah keluarga yang terpilih daripada golongan miskin dan asnaf zakat menerima Dana Fidyah Yayasan Ikram berupa pek makanan asas dan keperluan harian berupa beras, minyak masak, gula, tepung gandum dan minuman.

Disediakan Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri