Skip to main content

Kontinjen UMPSA meriahkan Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kemerdekaan

KUANTAN, 31 Ogos 2023 - Dua pasukan kontinjen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengambil bahagian dalam acara Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-66 Peringkat Negeri Pahang Tahun 2023 yang diadakan serentak di daerah Kuantan dan juga Pekan.

Seramai 50 orang warga UMPSA terdiri daripada kalangan pelajar dan staf telah terlibat dalam perarakan di daerah Kuantan yang diadakan di Padang MBK 4. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang di sini. 

Hadir menyaksikan acara adalah Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato' Ts. Dr. Yusserrie Zainuddin manakala bagi daerah Pekan dihadiri oleh Pendaftar UMPSA, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim.

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, penglibatan pasukan UMPSA kali ini amat bermakna sebagai mendekatkan universiti dengan masyarakat setempat. 

Kontinjen UMPSA meriahkan  Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kemerdekaan

“Hari Kemerdekaan yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ pada tahun ini membawa perpaduan, kebebasan, kedamaian dan kesejahteraan kepada warga UMPSA untuk mencipta lebih banyak kejayaan dan mengecapi masa depan yang lebih cemerlang dan gemilang buat generasi hari ini dan masa hadapan.

“Perarakan turut melibatkan tiga buah kenderaan universiti iaitu kereta Hyundai Kona Electric Vehicle, Van Elektrik dan Van OKU UMPSA,” ujarnya. 

Mengetuai perbarisan ialah Mazlan Mohamad daripada Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH).

Manakala bagi daerah Pekan pula kontinjen perbarisan disertai oleh seramai 30 orang warga UMPSA yang diketuai oleh Irwan Shah Rizal Amir Hamzah daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. 

Suasana kemeriahan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dapat dirasakan apabila lebih 100 penyertaan kontinjen berjalan kaki dan kontinjen kenderaan yang terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi negeri dan persekutuan, badan berkanun, institusi pendidikan serta NGO terlibat dalam acara perarakan yang bermula sejak awal pagi.

Kontinjen UMPSA meriahkan  Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kemerdekaan

Sepanjang Bulan Kebangsaan ini pelbagai aktiviti telah dirancang, antaranya Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan Ke-66 Tahun 2023, Pertandingan Hias Pejabat dan Tik Tok  Merdeka, Derma Darah Merdeka, Ceramah Merdeka: ‘Kepentingan Kepimpinan Ulama dan Umarak’ dan lain-lain.

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhleena Muhammad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
ainaa adhreena