Skip to main content
UMP ubah kaedah operasi, aktifkan pembelajaran secara atas talian

UMP ubah kaedah operasi, aktifkan pembelajaran secara atas talian

Kuantan, 16 Mac- Berikutan situasi terkini pandemik COVID-19 di negara ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengubah kaedah operasi di kedua-dua Kampus UMP Pekan dan Gambang berkuat kuasa serta merta mulai 16 Mac 2020 hingga 12 April  2020 ini dalam menangani penularan penyakit ini. Ianya selaras dengan peruntukan Pekeliling Pentadbiran Bil.3 / 2020 yang dikeluarkan pada 16 Mac 2020. 

Sepanjang tempoh tersebut, staf akademik universiti ini akan mengaktifkan mod pengajaran dan pembelajaran (PnP) menggunakan e-Learning dengan aplikasi dalam talian.

“Semua sesi pembelajaran dan pengajaran akan dijalankan secara dalam talian kepada semua pelajar. Segala aktiviti bersemuka (face-to-face) seperti kuliah, makmal dan penyelidikan akan dihentikan serta merta dan akan diselaraskan semula ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” ujar Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bertindak Bencana Universiti di UMP Gambang. 

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan sebagai langkah proaktif memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan secara teratur dan sistematik.

Dengan keputusan ini, semua staf akademik akan melaksanakan kaedah e-Pembelajaran dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran UMP (KALAM) pada masa kuliah sebenar dengan menggunakan mana-mana aplikasi talian yang bersesuaian.

Pihaknya juga menasihatkan staf akademik UMP mendapatkan khidmat nasihat bagi melaksanakan P&P secara e-Pembelajaran daripada pihak Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (CIReL) UMP bagi memastikan perkara ini dilaksanakan mengikut keperluan yang ditetapkan.

UMP menangguhkan semua program atau aktiviti membabitkan perhimpunan (mass gathering) di dalam dan luar kampus universiti ini, selepas mengambil kira nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, staf pentadbiran dan akademik juga dikehendaki melaksanakan kerja dari rumah (work from home) kecuali staf yang menjalankan tugas-tugas berkaitan kepentingan universiti seperti keselamatan, kesihatan atau staf yang diarahkan bertugas.
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri