Skip to main content

Warga UMP Bergotong-royong Laksana Ibadah Korban

Pekan, 14 Ogos – Bersempena Hari Raya Aidiladha yang disambut baru-baru ini, warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyempurnakan ibadah korban secara bergotong-royong dalam Program Ibadah Korban dan Aqiqah anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) baru-baru ini.

Pada tahun ini sebanyak enam ekor lembu korban disembelih dalam program yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 12.00 tengah hari serentak di kedua-dua kampus di Pekan dan Gambang. Seramai 42 orang penyumbang mengambil bahagian dalam ibadah korban ini membabitkan staf UMP dan pihak luar.

Program diketuai oleh Ustaz Shahrul Nizam Md Ahir di Masjid UMP Pekan dan Ustaz Md. Abdu Sahak di Gambang  dengan dibantu seramai 80 sukarelawan yang bersama-sama bergotong-royong menjayakan program ini bermula dengan sembelihan, melapah, agihan daging sembelihan dan memasak juadah nasi berlaukkan daging masak kerisik dan acar jelatah.

Menurut Ustaz Md. Abdu, ibadah korban sangat dituntut dalam Islam bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT bermula pada hari Aidiladha, iaitu 10 Zulhijah dan tiga hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijah serta menghayati konsep pengorbanan dan berkongsi rezeki. 

“UMP turut menawarkan kemudahan buat staf melaksanakan ibadah korban menerusi kaedah pemotongan gaji serendah RM20.00 setiap sebulan, justeru dengan skim ini diharapkan ianya dapat membantu warga UMP menunaikan ibadah korban pada tahun akan datang,” katanya.

Program ini juga dapat merapatkan hubungan baik antara staf daripada pelbagai jabatan memandangkan kebiasaanya masing-masing sibuk dengan tuntutan tugasan. Turut hadir bersama Naib Canselor UMP Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusof yang hadir bertemu sukarelawan dan menyampaikan sumbangan daging korban kepada warga UMP dan masyarakat setempat.

Disediakan oleh Siti Nur Azwin Binti Zulkapri daripada Bahagian Komunikasi Korporat

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri