Skip to main content

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti lawat UMPSA Kampus Gambang dan anak syarikat, UMP Holdings

GAMBANG, 23 November 2023 – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dato' Seri Abdul Razak Jaafar telah mengadakan lawatan ke UMPSA kampus Gambang selepas lawatan sulungnya di Pekan pada 2 November lalu.

Ketibaan beliau telah disambut oleh Naib Canselor, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bersama barisan pengurusan tertinggi universiti dan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings, Tuan Syed Alwi Mohamed Sultan di Dewan Kompleks Sukan Universiti serta sekali gus melawat kemudahan sukan yang terdapat di sini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti lawat UMPSA Kampus Gambang dan anak syarikat, UMP Holdings

Antara kemudahan menarik yang disediakan adalah gelanggang sukan skuasy, ping pong, badminton, bola tampar, bola jaring, bola sepak, takraw dan juga terdapat kemudahan kebudayaan iaitu studio tari.

Dato' Seri Abdul Razak dan barisan pengurusan tertinggi universiti turut melawat ke sekitar kawasan kampus dengan menaiki bas elektrik (EV) untuk meninjau fakulti dan fasiliti utama kampus termasuk Pusat Penyelidikan Bioaromatik yang memfokuskan penyelidikan dan pembangunan produk berkaitan industri bioteknologi dengan tumpuan terhadap Agro Technology, Innovative Sensor dan Synthetic Biology. 

Lain-lain lokasi yang dikunjungi adalah Makmal Berpusat, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA).

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti lawat UMPSA Kampus Gambang dan anak syarikat, UMP Holdings

Dalam masa yang sama, beliau turut berkunjung ke Kompleks UMP Holdings yang merupakan sebuah anak syarikat UMPSA yang mempunyai kepentingan perniagaan dalam beberapa sektor iaitu hartanah, pengurusan kemudahan dan aset, pengkomersialan teknologi, perundingan dan nasihat teknikal serta pelaburan. 

Di sini beliau melawat Industrial Center of Excellence Building Information Modelling Digital Construction Center (ICoE BIM DCC) iaitu sebuah fasiliti yang merupakan sebahagian daripada inisiatif ICoE (Construction), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah dimulakan sejak tahun 2015 serta diterajui oleh UMPSA.

ICoE BIM DCC telah dibangunkan oleh pengasasnya, Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi Haron yang juga merupakan Pengarah Kanan, (Inovasi dan Komersial), Pusat Pengurusan Inovasi dan Komersial UMPSA. 

Matlamat penubuhannya ialah untuk memfokuskan kepada pembangunan transformasi digital industri bagi sektor pembinaan yang meliputi aspek pembangunan modal insan dan tenaga kerja, transformasi digital syarikat-syarikat, khidmat perundingan dan pelaksanaan projek, serta penyelidikan dan inovasi bagi menyelesaikan permasalahan industri.

Kualiti pelaksanaan BIM di UMPSA secara umum dan UMP Holdings secara spesifik mencapai tahap tertinggi di dalam negara apabila pernah memenangi tempat pertama bagi Anugerah BIM JKR Malaysia pada tahun 2021. 

Manakala, pada tahun 2022, ICoE BIM DCC telah diberikan penghormatan untuk menjadi tuan rumah oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia bagi penganjuran WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) di dalam bidang Digital Construction. 

Sehingga kini, UMPSA dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah berjaya melatih dan mentauliahkan lebih 2,500 orang tenaga kerja bagi menampung keperluan industri Building Information Modelling (BIM) di dalam negara.

Dalam pada itu, Dato' Seri Abdul Razak juga berkesempatan untuk merasai sendiri pengalaman mengaplikasikan teknologi Virtual and Augmented Reality berasaskan BIM yang telah dibawa khas oleh pasukan BIM UMP Holdings Sdn. Bhd.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti lawat UMPSA Kampus Gambang dan anak syarikat, UMP Holdings

Dato' Seri Abdul Razak turut sama dengan pengurusan universiti menunaikan solat Jumaat dan beramah mesra dengan warga kampus serta melihat sendiri kelengkapan juga fasiliti di masjid UMPSA.

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
ainaa adhreena