Skip to main content

Pusat Bahasa Moden anjur Minggu EKSA

PEKAN, 24 Julai 2023 - Sejajar dengan usaha dan komitmen universiti dalam pendekatan kampus lestari serta mesra alam, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Minggu Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) pada 24 hingga 28 Julai yang lalu. 

EKSA yang dilancarkan pada Januari 2014 sebagai penjenamaan semula amalan 5S dalam sektor awam bertujuan mengetengahkan persekitaran tempat kerja yang berkualiti dan kondusif selain memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif. 

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan iaitu Gotong-royong Perdana, Hari Kitar Semula Peringkat PBM, Sesi Perkongsian Ilmu, Pertandingan Mini EKSA dan Pameran Inovasi. 

Program ini dimulakan dengan aktiviti Gotong-royong Perdana yang dilaksanakan selama dua hari dan melibatkan seluruh warga PBM di kedua-dua kampus iaitu Pekan dan Kampus Gambang. 

Gotong-royong kali ini berfokuskan kepada pengemasan dan pelupusan barangan dan dokumen di stor alatan program pejabat, ruang utama pejabat, dan juga stor penyimpanan dokumen pengajaran dan pembelajaran di PBM. 

Aktiviti ini diketuai oleh Nurul Syazwani Aziz (Pekan) dan Suriayati  Mohd Sidek (Kampus Gambang) turut dipantau oleh Penyelaras EKSA yang juga merupakan Guru Bahasa PBM iaitu Hanisah Bon (Kasbon) yang juga merupakan seorang Guru Bahasa di PBM. 

Manakala pada hari ketiga, program diteruskan dengan aktiviti Hari Kitar Semula Peringkat PBM 2023. 

Hari Kitar Semula ini adalah satu hari yang penting dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kitar semula dan amalan mesra alam. 

Rentetan aktiviti gotong-royong perdana, pengumpulan bahan kitar semula seperti kertas, plastik dan logam berjaya dilaksanakan dan kaedah pelupusan dilakukan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Aktiviti gotong-royong pengumpulan dan pelupusan bahan kitar semula berakhir pada jam 4.30 petang dengan hasil kutipan lebih RM200.00 bagi jualan barangan kitar semula yang dilaksanakan di bangunan PBM Pekan. 

Seterusnya, pengisian aktiviti Program Minggu EKSA PBM 2023 turut diserikan dengan kehadiran suara inspirasi dari Borneo, Penolong Pegawai Tadbir merangkap Auditor Jawatakuasa Induk EKSA Universiti Malaysia Sabah (UMS), Erwin Rusfian Haji  Rukkung sebagai penceramah jemputan bagi Sesi Perkongsian Ilmu ‘Jom Budayakan EKSA’. 

Perkongsian ini melibatkan enam komponen utama di bawah kluster Sosial Komponen A hingga F (Institut Pengajian Tinggi Awam) iaitu Keperluan Utama Pelaksanaan, Ruang Kerja dan Tempat Kerja, Tempat Umum, Keselamatan Persekitaran, Kawasan Persekitaran Jabatan dan Tempat Khusus. 

Sesi perkongsian ilmu ini yang berlangsung secara dalam talian dilihat dapat memberi pendedahan kepada para peserta berkaitan mekanisme penilaian EKSA. 

Sepanjang Minggu EKSA PBM 2023 berlangsung, staf PBM juga terlibat dengan pertandingan-pertandingan Mini EKSA yang menarik. 

Terdapat lima pertandingan yang dilaksanakan iaitu pertandingan Bilik Terbaik, Ruang Kerja Terbaik, dan Hasil Kreativiti Terbaik bagi kategori Individu; serta pertandingan Zon Terbaik dan Anugerah Amalan Hijau Terbaik bagi kategori Berkumpulan. 

Penilaian pertandingan ini dijalankan oleh Jawatankuasa Audit EKSA PBM yang diketuai oleh Nurul Nadia Muhammad. 

Manakala bagi kategori Hasil Kreativiti Terbaik, lima orang peserta telah mempamerkan hasil kreativiti masing-masing dalam satu Pameran Inovasi yang diadakan pada 28 Julai 2023 di PBM Kampus Pekan. 

Tiga orang juri telah dijemput untuk membuat penilaian iaitu Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi, Ketua Jabatan Bahasa Asing, Dr. Wan Jumani  Fauzi dan  Ketua Unit Perkhidmatan Sokongan Bahasa, Dr. Ezihaslinda Ngah. 

Menurut Penasihat EKSA PBM, Nor Ashikin Sulaiman, program seperti ini perlu dianjurkan lagi pada masa hadapan bagi meningkatkan kesedaran staf tentang peranan dan tanggungjawab dalam pembudayaan EKSA, menggalakkan budaya inovasi, dan memberi ruang untuk menzahirkan idea kreatif dalam penyampaian perkhidmatan awam. 

“Semoga Minggu EKSA PBM 2023 membawa inspirasi, motivasi, dan semangat kompetitif dalam kalangan staf PBM untuk terus berusaha meningkatkan kualiti dan prestasi mereka dalam pelaksanaan EKSA di PBM, UMPSA,” ujarnya. 

Disediakan oleh: Muhamad Aizat Zulkifli, Hanisah Bon (Kasbon) Dan Nurul Nadia Muhammad, Pusat Bahasa Moden
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News