Skip to main content

UMPSA lancar Rimba Komuniti sebagai inisiatif penghijauan kampus lestari

PEKAN, 22 Disember 2023 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya melancarkan pembukaan tapak baharu yang dikenali sebagai Rimba Komuniti terletak di kampus Pekan.

Tapak baharu Rimba Komuniti yang berkeluasan 6.7 ekar ini merupakan salah satu lokasi penghijauan kampus UMPSA selain Rimba Lestari yang merupakan projek kerjasama antara UMPSA dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

UMPSA Pekan juga turut mempunyai beberapa lokasi penghijauan kampus yang lain iaitu Arboretum Bioaromatik, Dusun UMPSA, Kawasan Tumbuhan Nadir, Laman Cendekia, Tasik Rekreasi dan Tasik Wetland.

Dalam pada itu, UMPSA akan meneruskan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang akan membekalkan sebanyak 800 anak pokok hutan pelbagai jenis yang telah dikenal pasti sesuai dengan persekitaran dan tanah di kawasan Rimba Komuniti.

Antara spesies pokok hutan yang akan ditanam adalah daripada jenis Meranti Tembaga, Keruing Kertas, Balau Pasir, Keladan, Merbau, Chengal dan anak pokok Kulim. 

Sempena pelancaran Rimba Komuniti itu sebanyak 200 anak pokok telah berjaya ditanam manakala baki anak pokok bakal diterima pada beberapa sesi penanaman yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, aktiviti penghijauan kampus telah menjadi fokus utama dan telah bermula sejak dari awal perpindahan UMPSA dari kampus Gambang ke Pekan.

UMPSA lancar Rimba Komuniti sebagai inisiatif penghijauan kampus lestari

“UMPSA memberi komitmen yang tinggi dalam proses penghijauan dan kelestarian kampus bagi menyokong agenda negara dalam menangani isu-isu perubahan iklim yang menjadi cabaran paling besar di seluruh dunia ketika ini.

“Kita perlu sedar bahawa dunia yang kita diami sekarang ini perlu dipelihara dengan sebaiknya agar ia dapat diwarisi oleh generasi akan datang dengan kualiti kehidupan yang baik atau lebih baik daripada hari ini.

“Inisiatif yang dilaksanakan hari ini dapat memberi manfaat kepada kepelbagaian flora dan fauna di UMPSA sekali gus akan mewujudkan platform kepada aktiviti lain buat warga kampus seperti pengwujudan taman rekreasi hutan atau lokasi untuk aktiviti penyelidikan berkaitan alam serta tumbuhan hutan,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Prapelancaran Rimba Komuniti di lokasi berkenaan.

UMPSA lancar Rimba Komuniti sebagai inisiatif penghijauan kampus lestari

Tambah beliau lagi, program ini juga adalah merupakan usaha berterusan Inisiatif Penghijauan Kampus Lestari bagi UMPSA untuk terus aktif dalam menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli. Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC). 

“Usaha kecil kita ini diharapkan sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada keterlibatan UMPSA dalam usaha negara dan global bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG).

“Saya turut mengharapkan agar warga UMPSA dapat bersama-sama memupuk kesedaran berkenaan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta impak-impak positif hasil daripada inisiatif yang kita laksanakan sekarang kepada generasi akan datang,” katanya.

Majlis pelancaran Rimba Komuniti turut dihadiri oleh Tuan Rusilan Said. Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, dan barisan Pengurusan Tertinggi Universiti.

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
ainaa adhreena