Skip to main content

Memimpin Perubahan Pemangkin Pencapaian

Dunia kini sedang mengalami perubahan yang amat pesat dan pantas. Penggunaan teknologi dalam penyampaian maklumat memberi kesan yang mendalam kepada setiap pelosok kehidupan manusia. Tidak semua perubahan bersifat revolusi kepada kehidupan, ada yang hanya bersifat ‘trend’ dan tidak kekal. Setiap perubahan perlu diterima jika perubahan tersebut memberi seribu satu makna untuk kebaikan sejagat.
 
Adaptasi setiap perubahan perlu diperhalusi dan diakalkan secara strategik. Sesebuah organisasi termasuk universiti dan warganya memerlukan perubahan bagi membolehkannya untuk terus kekal releven dalam arus perdana pendidikan tinggi. Kegagalan untuk berinteraksi dengan perubahan akan menyebabkan organisasi ketinggalan dan tidak berdaya saing mengharungi cabaran.
 
Secara teknikal, pengurusan perubahan merupakan satu set proses iaitu satu mekanisme akan dibangunkan bagi memudahkan proses perubahan. Keupayaan seorang pengurus akan teruji apabila dikehendaki untuk memantau dan memastikan setiap tahap perubahan mengikut apa yang dikehendaki pimpinan universiti. Kepimpinan yang berkualiti tinggi merupakan satu aspek yang amat dititikberatkan dalam mengurus perubahan.
 
Menyedari perkara tersebut, kejayaan dan kecemerlangan universiti pada hari ini bertitik-tolak melalui hasil kerja padu dan dedikasi seluruh warga universiti. Komuniti universiti merupakan tulang belakang penting bagi sesebuah universiti. Komuniti besar ini terdiri daripada pengurusan tertinggi, pentadbir universiti, akademia, pelaksana dan mahasiswa. Mereka merupakan nadi penggerak dalam mendokong visi dan misi universiti. Nadi penggerak ini sebenarnya merupakan pemain utama dalam bidang Pendidikan Tinggi Negara iaitu induk segala matlamat terletak pada Kementerian Pengajian Tinggi.
 
Merekayasa organisasi melalui peningkatan keupayaan dan memberi nafas baharu kepada organisasi, dilihat selari dengan salah satu teras strategik dalam kerangka transformasi perkhidmatan awam. Sesungguhnya kejayaan sesebuah organisasi diukur berdasarkan kepada kecekapan, keberkesanan, produktiviti, kualiti produk dan kaedah penyampaian berkesan yang akhirnya memerlukan seorang pentadbir yang matang, mampu menilai secara realistik dan berupaya melakukan anjakan paradigma serta berfikiran jauh. Keupayaan untuk berubah serta responsif dengan suasasana persekitaran semasa dan dapat menjangka (predict) perubahan pada masa hadapan dalam kalangan pentadbir dilihat sebagai kemahiran yang penting dan perlu dibudayakan secara sistematik mengikut acuan organisasi tersebut.
 
Oleh yang demikian, pentadbir universiti harus berperanan untuk memimpin perubahan. Kebersamaan hati dan tenaga dalam kalangan warga pentadbir akan menyokong agenda perubahan nasional. Seharusnya kita hendaklah sentiasa bersedia mengadaptasi setiap perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Sebagai contoh, adaptasi proses pendigitalan perkhidmatan kerajaan. Pekara ini adalah satu perubahan agar rakyat lebih mesra kepada teknologi. Tempias ini juga turut dapat dirasakan dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
 
YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kerajaan akan mempercepatkan proses pendigitalan masyarakat membabitkan pelbagai aspek seperti e-dagang, e-kerajaan dan pendidikan digital. Justeru, pentadbir universiti harus mempunyai pendirian lebih terbuka dan luwes serta berani memimpin perubahan dalam apa jua bentuk tindakan dan pandangan yang diungkapkan.  
 
Oleh yang demikian, sejajar dengan tema Hari Pentadbir Universiti Awam pada tahun 2020 yang disambut setiap 20 Ogos iaitu ‘MEMIMPIN PERUBAHAN, PEMANGKIN PENCAPAIAN’ maka pentadbir universiti boleh menekuni langkah-langkah yang boleh dilakukan dalam memimpin perubahan sebagai mana model yang dibangunkan oleh Profesor John Kotter iaitu seorang pakar dalam bidang kepimpinan. Beliau menyatakan antara langkah tersebut adalah dengan mencipta keperluan, membentuk pasukan yang kuat, mencipta visi perubahan (mengembangkan strategi), menyampaikan visi melalui komunikasi, menghapuskan halangan (wujudkan kebiasaan baharu), membentuk sasaran jangka pendek, membina perubahan secara berterusan (kukuhkan bakat) dan pengukuhan budaya. Melihat kepada langkah-langkah tersebut maka pentadbir universiti perlu sentiasa bertindak proaktif dan inovatif dalam meneroka peluang untuk meningkatkan profesionalisme serta mengukuhkan bakat demi mewujudkan kelebihan bersaing sama ada dalam mahupun di peringkat antarabangsa.
 
Selamat Hari Pentadbir kepada seluruh pentadbir Universiti Awam se-Malaysia.
 
Penulis merupakan Presiden Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Timbalan Presiden (Hubungan Korporat), Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI).

Memimpin Perubahan Pemangkin Pencapaian
Mohd Raizalhilmy Mohd Rais 

Oleh : Mohd Raizalhilmy Mohd Rais 
e-mel: hilmy@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News