Skip to main content

Pensijilan MS ISO 9001: 2015 tingkat daya saing graduan holistik UMP

PEKAN, 7 Oktober 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke arah pensijilan MS ISO 9001:2015 dalam usaha melahirkan graduan holistik seiring dengan hasrat universiti menjadi universiti teknologi terunggul. 

Melalui pembangunan MS ISO 9001:2015, pengurusan proses secara keseluruhan melibatkan kualiti dari pelbagai aspek seperti program akademik, graduan, perkhidmatan yang ditawarkan, penyelidikan dan penerbitan boleh dicapai mengikut standard kualiti. 

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, skop MS ISO 9001:2015 ini adalah bagi Pembangunan dan Pengurusan Akademik Program Ijazah Sarjana Muda yang akan diterajui oleh Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA).

“Sudah tentu Pusat Tanggungjawab (PTJ) lain juga akan terlibat dengan pelaksanaan aktiviti sokongan bagi skop yang telah dipilih ini.

Pensijilan MS ISO 9001: 2015 tingkat daya saing graduan holistik UMP

 
“Bagi mendapatkan persijilan, beberapa siri kursus dan Bengkel Pengenalan dan Kesedaran kepada Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) mengikut keperluan MS ISO 9001:2015 akan dilaksanakan,” katanya. 

Beliau turut menyeru agar semua pihak dapat memberikan komitmen dan penglibatan secara holistik terhadap usaha untuk mendapatkan persijilan MS ISO 9001:2015 ini.
 
Ujarnya, usaha ini akan membantu organisasi untuk memenuhi keperluan pelanggan. 

“Ini akan menghasilkan produk, perkhidmatan pelanggan dan kepuasan pelanggan yang lebih baik.
 
“Dengan implementasi sistem yang wajar, organisasi akan menjadi lebih efisien dan produktif di samping akan mengurangkan ralat serta buat-semula, mengurangkan kos operasi, masa dan penggunaan sumber.

“Malahan sistem ini juga turut menggalakkan penambahbaikan berterusan yang akan meningkatkan daya saing organisasi dalam aspek-aspek yang berkaitan untuk lebih berjaya,” katanya. 

Selain itu katanya, sistem ini juga akan melihat kepada keperluan sumber manusia yang akan meningkatkan komitmen dan semangat kakitangan.

Hadir sama Pengarah Institut Pengurusan Kualiti, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Hanif Jedin dan Profesor Dr. Rushaimi Zein Yusoff sebagai Pengendali Latihan bagi Program Amalan Kualiti Menyeluruh Ke Arah Pengiktirafan MS ISO 9001:2015. 

Turut sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti (PHKK), Profesor Dr. Chong Kwok Feng. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit