Skip to main content

Alumni UMP bina empayar perniagaan Trinovik Labs

PEKAN, 7 September 2021 -  Alumni Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian), Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang pernah merangkul Hadiah Pelajaran DiRaja sewaktu Majlis Konvokesyen Pertama UMP yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) kini berjaya membina empayar perniagaannya  sendiri iaitu Trinovik Labs.

Sebagai pelajar perintis, Gunasegaran Krishnan antara pelajar pertama yang terpilih untuk mewakili universiti dalam lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke New Zealand.

Ia adalah pengalaman yang paling bermakna buat dirinya. 

Gunasegaran atau lebih mesra dipanggil Guna mengimbas kembali perjalanan kariernya selama 15 tahun, 

Beliau pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat global antaranya Standard Chartered, Haagen Dazs, Japan Tobacco International, Michelin, Bursa Malaysia dan OSK Investment Bank.
 
“Saya bertugas dalam memastikan penyelesaian perkhidmatan digital dan penyatuan sistem dalam agensi pengiklanan. 
 
“Melayari dunia korporat, saya berkesempatan untuk memperluas pengetahuan digital sebagai VP e-Broking untuk OSK Investment Bank.

“Saya akan berunding dan menerapkan teknologi baharu untuk platform perdagangan saham dalam talian dan kempen digital mereka,” ujarnya.
 
Tambahnya lagi, beliau adalah antara orang penting sewaktu penggabungan OSK Investment Bank-RHB Investment Bank dan kemudiannya dilantik selaku Pengurus Kanan, RHBIB setelah penggabungan itu selesai.
 
Sejajar dengan perkembangan Teknologi Maklumat dan pengalaman yang diperoleh, alumni UMP ini tekad untuk membina empayarnya sendiri iaitu Trinovik Labs sejak 2014.
 
“Saya percaya bahawa penyelesaian digital adalah DNA penting dalam perniagaan masa kini. 
 
“Trinovik Labs ditubuhkan bertujuan untuk menyediakan penyelesaian digital yang mudah, boleh dipercayai dan berpatutan untuk semua perniagaan sama ada syarikat kecil atau syarikat besar,” katanya.

Dalam pada itu, atas semangat dan sokongan yang berterusan terhadap alma meternya, Guna turut dilantik sebagai  Timbalan Presiden, Industry Network Alumni Platform (INAP) dan Panel Penasihat Industri untuk Fakulti Komputeran (2021/2023).

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor 

Sumber: Pusat Perhubungan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim