Skip to main content

Pendedahan teknologi terkini dalam industri, alumni UMP jadi pilihan majikan

PEKAN, 12 Julai 2021 – Mahasiswa hendaklah sentiasa fleksibel dan bersedia untuk mempelajari sesuatu yang baharu terutamanya dalam mendepani norma baharu pandemik Covid-19.

Menurut alumni Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Muhammad Qusyairi Hashim, 30, beliau bertuah apabila berpeluang belajar dan menamatkan pengajian di UMP.

“Graduan UMP menjadi pilihan majikan disebabkan terdapat kombinasi antara kurikulum dan praktikal.

“Selain itu, pelajar turut didedahkan dengan teknologi terkini yang digunakan dalam kebanyakan industri,” katanya yang kini yang bergelar Perunding Pengurusan dan Perundingan Risiko di KPMG Malaysia.

Beliau amat berterima kasih atas segala usaha universiti dan para pensyarah dalam membentuk serta melatih pelajar UMP sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu sebelum ini memulakan tugas di PWC Malaysia selama lima tahun sebelum berkhidmat di KPMG Malaysia.

KPMG Malaysia merupakan sebuah firma yang menawarkan perkhidmatan profesional seperti audit, cukai dan nasihat di 146 buah negara dan mempunyai sebanyak 8 cawangan di seluruh Malaysia.

Tambahnya lagi, banyak kenangan sepanjang bergelar perunding pengurusan dan perundingan risiko.

“Antara kenangan paling manis ialah dapat berurusan dengan pelanggan di Mekah.

“Pada ketika itu, pejabat saya hanyalah dalam lingkungan 300 meter daripada Kaabah.

“Alhamdulillah itulah kenangan paling berharga buat saya.

“Tidak semua mampu memiliki dan untuk itu saya bersyukur atas segala usaha dan kerja keras selama ini,” ujarnya.
Muhammad Qusyairi yang merupakan anak kedua dari tiga beradik itu turut berkongsi kisah pengalaman kampus apabila beliau turut aktif dalam bidang kokurikulum dan pernah menjadi juara Debat Perdana Gender (2011 dan 2012), naib juara Debat KDYMM Sultan Zainal Abidin (2011) dan naib juara Debat Keamanan (2012).

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim