Skip to main content
Rebut ruang dan peluang sambung pengajian di IPT - Dr. Mohd Aizudin

Rebut ruang dan peluang sambung pengajian di IPT - Dr. Mohd Aizudin

KUANTAN, 18 Julai 2021 – Pengumuman keputusan permohonan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pengajian asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda telah mula diketahui sejak Rabu lalu.

Ini turut membabitkan kemasukan ke Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Pastinya pelajar dan ibu bapa kini sedang mendapatkan informasi kemasukan dan persiapan bagi menyambung pengajian ke institusi pengajian terpilih.

Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mohd Aizudin Abd Aziz turut berkongsi pengalamannya ketika memilih bidang pengajian di UMP.

Menurutnya, sebelum ini UMP dikenali dengan nama Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM).

Beliau memilih KUKTEM sebagai pilihan pertama ketika mengisi borang permohonan UPU setelah menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Melaka.

“Pada ketika itu, terdapat dua pilihan program Kolej Matrikulasi iaitu Program Sains Hayat dan Program Sains Fizikal.

“Program Sains Hayat memfokuskan kepada bidang perubatan dan yang berkaitan manakala Sains Fizikal pula akan memfokuskan kepada program kejuruteraan,” katanya yang merupakan pelajar program Sains Hayat.

Beliau banyak dibantu oleh guru kaunselor dan rakan sekeliling dalam memperoleh maklumat berkenaan bidang pengajian.

Akhirnya, beliau bersyukur kerana terpilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

Mengimbas pengalaman sewaktu bergelar mahasiswa UMP, pada tahun pertama hingga ketiga merupakan pengalaman paling menarik kerana terlibat dengan pelbagai program yang dianjurkan oleh UMP termasuklah khidmat masyarakat.

“Semasa di tahun 3, saya bersama rakan-rakan telah menganjurkan program pengantarabangsaan ke Taiwan selama seminggu dan merupakan pelajar UMP yang pertama ke luar negara,” ujarnya.

Jadual pembelajaran yang padat bukanlah satu halangan buat Dr. Mohd Aizudin untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Sebaik bergraduat pada tahun 2007, beliau mula berkhidmat sebagai jurutera di salah sebuah syarikat minyak & gas di Kuala Lumpur.

“Pada tahun yang sama, pihak UMP juga turut menawarkan untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana seterusnya doktor falsafah.

“Alhamdulillah, permohonan saya berjaya dan saya menerima tawaran yang diberikan.

“Kini saya berkhidmat sebagai pensyarah di UMP,” ujarnya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada UMP kerana memberikannya ruang dan peluang untuk membentuk dirinya.

“UMP juga turut menyediakan suasana yang kondusif dalam usaha membentuk pelajar (transisi) daripada remaja kepada dewasa yang tidak mungkin dijumpai di tempat lain,” katanya.

Dr. Mohd Aizudin kini merupakan Ketua Program Persediaan, Pusat Diploma dan Asasi UMP di UMP Advanced Education.

Beliau turut berpesan kepada semua lepasan SPM/STPM yang ingin melanjutkan pelajaran bahawa peluang telah terbuka luas maka buatlah pilihan yang terbaik.

Beliau tampil dalam Webinar Siri 2 Peluang Belajar untuk Semua: Perkongsian Alumni UMP, ‘Pengalaman Belajar di Universiti Malaysia Pahang (UMP)’ secara dalam talian baru-baru ini.

Program yang dijalankan melalui aplikasi Zoom itu dikendalikan oleh Eksekutif Kanan, Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran, UMP Advanced, Illi Ainaa Mohd Arif.

Pelajar yang tidak berjaya dalam permohonan UPU masih berpeluang untuk memohon program Jom Masuk UMP Secara Terus (MUST) bagi program diploma, asasi sains dan teknologi serta pradiploma tanpa melalui sistem UPU.
Bagi yang berminat boleh melayari umpadvanced.ump.edu.my/admission atau menghubungi talian 012-652 3001/011-267 4944.

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim