Skip to main content

UMPSA iktiraf 109 pensyarah dalam Majlis Anugerah Cendekia Bitara

KUANTAN, 15 September 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah  (UMPSA) terbukti mempunyai penyelidik bertaraf dunia yang membanggakan apabila seramai 109 menerima  anugerah merangkumi 101 Anugerah Cendekia Bitara (ACB), enam Anugerah e-Pengajaran Universiti (APU) dan dua Anugerah Akademik Universiti (AAU) yang dikhususkan kepada warga akademianya yang terbukti berwibawa dan berketokohan dalam lapangan pengajaran dan pembelajaran.

ACB melibatkan penerima Anugerah Penerbitan Jurnal (49), Penerbitan Buku (55), Kertas Polisi (4), geran antarabangsa (2), geran Industri (59), geran agensi (1), harta intelek yang dikomersial (1), perundingan (2), projek penyelidikan (2) dan kualiti penyelidikan (1). 

Manakala AAU melibatkan Anugerah Pengajaran (Kategori Kejuruteraan) dan Ahli Akademik Harapan. 

Sementara itu, APU menyaksikan kategori Anugerah Micro-Credentials Terbaik (5) dan Anugerah e-Learning (1). 

Hadir merasmikan majlis, Dato' Mohamad Nizar Dato' Sri Mohamad Najib yang merupakan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang dalam Majlis Cendekia Bitara (ACB) yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur baru-baru ini. 

Turut sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman,  Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Anugerah Cendekia Bitara 2022.

UMPSA iktiraf 109 pensyarah dalam Majlis Anugerah Cendekia Bitara

Menurut Dato' Mohamad Nizar, pihak Kerajaan Negeri Pahang sentiasa terus menyokong usaha UMPSA untuk mencapai aspirasi penyelidikan dan inovasi melalui pelbagai insentif serta bantuan kewangan, yang merangkumi rantaian nilai inovasi daripada peringkat perancangan sehinggalah ke peringkat pengkomersialan.

“UMPSA dan Kerajaan Negeri Pahang kini sedang mempergiat kolaborasi bersama dalam agenda keterjaminan makanan, sumber mineral, dan pendidikan STEM,” ujarnya. 

Pihaknya turut merakamkan penghargaan tahniah kepada universiti atas penganjuran Anugerah Cendekia Bitara – Prowess Craftsmanship sebagai satu pentas yang memberi pengiktirafan kepada para penyelidik yang telah menyumbangkan kecemerlangan kepada universiti seterusnya kepada Malaysia.

Sementara itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan UMPSA ini akan terus diperkukuh dan dimantapkan. 

“Sebagai sebuah universiti teknologi terunggul di Malaysia amnya dan Negeri Pahang khususnya, pihak UMPSA bersedia untuk berkongsi dan menyumbang kepakaran staf serta penyelidik mengikut bidang fokus kerajaan negeri. 

“Malahan, sinergi ini bukan sahaja merentas dan melangkau perspektif bakat, sumber manusia dan kewangan semata-mata tetapi turut melibatkan pemindahan kepakaran, penyelidikan, perkongsian ilmu serta pemantapan amalan terbaik,” katanya. 

Selain itu, berdasarkan kepakaran yang ada, UMPSA sentiasa fokus untuk memastikan ia sentiasa menjadi tempat rujukan atau first referred dalam sebarang penyelesaian masalah yang berkaitan inovasi dan teknologi selaras dengan slogan UMPSA ‘Kejuruteraan, Teknologi, Kreativiti – Bersama Mencapai Kegemilangan’.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit