Skip to main content

UMPSA umum pemenang Pertandingan Penulisan Sempena Ulang Tahun Ke-21

PEKAN, 18 Disember 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengumumkan tiga pemenang utama dan dua hadiah sagu hati bagi Pertandingan Penulisan Rencana/Ilmiah/ Komentar 2023 sempena 21 Tahun UMPSA anjuran Pusat Komunikasi Korporat (PKK) baru-baru ini.

Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Hasnah Hussiin dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama menerusi artikelnya yang bertajuk ‘Terpahat Dalam Kenangan: UMPSA Menangani COVID-19 (2020-2021)’.

Hadiah disampaikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bertempat di Canseleri Tun Abdul Razak, UMPSA Pekan.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Abdul Wahit.

Dr. Hasnah Hussiin terkejut dan tidak menyangka apabila artikelnya berjaya menarik perhatian juri sehingga bergelar juara dengan menerima wang tunai RM500 berserta sijil penghargaan.

Beliau menulis tentang catatan berharga sejarah negara dilanda pandemik COVID-19 dan bagaimana warga universiti melalui saat-saat paling getir dalam mengurus kehidupan dengan norma dan pemikiran baharu.

UMPSA umum pemenang Pertandingan Penulisan Sempena Ulang Tahun Ke-21

“Persoalannya, bagaimana institusi pendidikan seluruh negara menguruskan operasinya semasa era pandemik ini dan UMPSA mempunyai cara tersendiri dalam menghadapi pandemik COVID-19,” ujarnya yang berkongsi tentang penulisannya.

Katanya, beliau sebenarnya suka menulis dan berkongsi dengan orang ramai mengenai penubuhan UMPSA sepanjang 21 tahun ini.

“Sebagai antara staf lama pastinya saya menyaksikan sendiri perkembangan universiti.

“Bukan mudah untuk UMPSA menggapai pencapaiannya hingga ke tahap ini kalau tidak dengan komitmen semua pihak.

“Apa pun terima kasih kepada pihak pengurusan kerana menghargai karya penulisan warganya,” katanya.

Tempat kedua pula telah dimenangi oleh staf dari Perpustakaan dengan tajuk aritkel ‘Perpustakaan UMPSA: Menelusuri Evolusi 21 Tahun UMPSA’.

Artikel ini merupakan gandingan tiga penulis yang terdiri daripada Pustakawan, Noorul Farina Arifin, Rohaida Mohamad Idaris dan Amelia Hasan.

Mereka membawa pulang wang tunai RM300 dan sijil penghargaan.

Tempat ketiga pula telah dimenangi oleh pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Gunavaathy a/p Saravanan yang menerima wang tunai RM200 dan sijil penghargaan dengan tajuk ‘UMPSA Excellence: Bridging Time With The Spirit Of Create.Love.Image’.

Tempat keempat dan kelima pula telah dimenangi oleh Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM), Jamilah Bebe Mohamad dengan tajuk artikel ‘UMPSA Melakar Citra Universiti Gemilang’ dan  Amy Zulaikha Mohd Ali dengan tajuk ‘UMPSA: A Legacy Of Excellence and A Vision For The Future’.

Masing-masing menerima wang tunai RM100 dan sijil penghargaan.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan diharapkan ia dapat memberi inspirasi untuk warga UMPSA menghasilkan penulisan kreatif mengenai penyelidikan ataupun universiti.

“Kemahiran menulis perlu sentiasa digarap agar penulisan tersebut dapat menjadi wadah yang baik kepada pembaca.

“Sebagai sebuah universiti yang menjadi lubuk ilmu, penulisan amat penting untuk membina kredibiliti, integriti dan akauntabiliti dalam kalangan penulis,” katanya.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris