Skip to main content

Warga UMPSA bergotong-royong sediakan juadah berbuka puasa setiap hari sepanjang Ramadan

GAMBANG, 12 Mac 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengekalkan konsep memasak mengikut jadual bagi penyediaan  juadah berbuka puasa (iftar) yang diadakan secara bergotong-royong mengikut setiap jabatan atau fakulti. 

Malahan pelajar juga turut membantu dalam aktiviti penyediaan makanan terutamanya dalam menyediakan persiapan berbuka puasa di kedua-dua kampusnya di Pekan dan juga Gambang.

Penyediaan dan pengagihan iftar Ramadan itu merupakan kerjasama antara Yayasan UMPSA dengan Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN). 

Pelbagai juadah disediakan antaranya nasi putih, gulai kawah, sayur campur, ayam masak lemak cili api, bubur lambuk, ayam masak kurma dan sebagainya mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Warga UMPSA bergotong-royong

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, penyediaan juadah berbuka puasa ini disediakan pada setiap hari melibatkan staf dan pelajar secara bergilir-gilir mengikut jadual yang ditetapkan di bawah penyelarasan PIMPIN untuk seramai 2,000 pelajar UMPSA di kampus Pekan dan Gambang.

“Sumbangan ini merupakan hasil pengumpulan dana daripada organisasi korporat, anak syarikat UMPSA, jabatan dan Tabung Ramadan Yayasan UMPSA yang diterima daripada pihak luar termasuk individu dan pihak korporat yang menyumbang untuk Tabung Ramadan melalui Yayasan UMPSA.

“Pada tahun ini menerusi Tabung Ramadan, Yayasan UMPSA menyaasarkan sebanyak RM240,000 sumbangan bagi penyediaan juadah iftar secara percuma sepanjang bulan Ramadan kali ini,” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan UMPSA.

Pihaknya turut mempelawa mana-mana dermawan, individu dan organisasi yang ingin menyumbang ke Tabung Ramadan Yayasan UMPSA, bolehlah menyumbang melalui Akaun Yayasan UMPSA:  556235317085 (Maybank) dan Rujukan: Ramadan 2024.

Dalam pada itu, UMPSA terus mengekalkan tradisi iftar iaitu juadah yang disediakan di dalam talam bagi merapatkan ukhuwah antara warganya. 

Selain itu juga, melalui kaedah makan bertalam ini juga mampu mempercepatkan proses pembersihan.  

Sepanjang bulan Ramadan ini,  UMPSA juga menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan penganjuran Festival Ramadan dengan pengisian Solat Tarawih, Tadarus dan Iftar Jamaie. 

Lain-lain termasuklah Ziarah Mahabbah Anak-anak Yatim, Sahur Ride UMPSA 2024, program memasak bubur lambuk, Ceramah Nuzul Quran, Kem Hafiz Ramadan, Majlis Khatam Quran Hour, Geng Subuh Macam Jumaat, Tahajud Call Pecutan Terakhir, Kem Hafiz Ramadan dan Pertandingan Penulisan Ramadan Kreatif  yang turut memberi peluang masyarakat warga kampus dan masyarakat setempat untuk turut sama menyertainya. 

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri