Skip to main content

22 graduan UMPSA kohort pertama Sarjana Muda Sains Gunaan Analitik Data bergraduasi

GAMBANG, 24 Oktober 2023 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya melahirkan seramai  22 orang graduan kohort pertama bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Analitik Data dengan Kepujian yang bergraduasi sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-18 baru-baru ini. 
 
Program akademik yang berdurasi tiga setengah tahun atau tujuh semester itu dibangunkan untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan berkebolehan dalam bidang Sains Data dan Analitik yang berkemampuan untuk mendapatkan maklumat atau  insight tentang data dan membuat keputusan yang berkesan.
 
Antara kemahiran bersepadu Sains Data yang diliputi dalam program ini ialah Kemahiran Matematik, Kemahiran Pengaturcaraan, Penyediaan Data dan Kemahiran Visualisasi Data, Kemahiran Pemodelan Statistik, Kemahiran Algoritma Pembelajaran Mesin, Kemahiran Analitik Lanjutan, Kemahiran Pengurusan, dan Kemahiran Penyelidikan dan Praktikal.
 
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, bidang Sains Data dan Analitik merupakan bidang baharu yang semakin berkembang pesat dalam negara malah elemen pembelajaran ini juga adalah sebahagian daripada tonggak utama Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) merangkumi elemen automasi, pendigitalan dan kecerdasan buatan.
 
“Bidang ini menggunakan pelbagai teknik dan peralatan yang memerlukan set kemahiran bersepadu daripada statistik, matematik, sains komputer dan penggunaan teknologi semasa dalam perisian komputer atau bahasa pengaturcaraan.
 
“Melalui pengetahuan ini, graduan dapat menceburi pelbagai bidang pekerjaan yang terkait dengan kemajuan sains dan teknologi khususnya bidang ekonomi, statistik, meteorologi, teknologi maklumat (IT), perniagaan, pendidikan, penyelidikan, pemasaran, perubatan dan banyak lagi.

“Buat masa ini, industri-industri yang berpusatkan data seperti perkhidmatan perniagaan, teknologi maklumat, perbankan dan telekomunikasi dan lain-lain memerlukan tenaga mahir dalam bidang Sains Data dan Analitik di Malaysia,” ujarnya. 
 
Jelas beliau lagi, Kemahiran Analitik Data telah digunakan secara meluas dalam pembuatan keputusan dan ramalan yang dibangunkan berasaskan model analisis data raya. 

“Walau bagaimanapun, aplikasi kemahiran Analitik Data tidak terhad kepada data dari sektor dan industri tertentu sahaja.
 
“Malahan pembangunan bidang kepintaran buatan dan pembelajaran mesin, robotik, teknologi nano, cetakan 3D, genetik dan bioteknologi juga melahirkan pelbagai jenis data-data baharu yang bersifat dinamik, unik dan besar bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang mendatang.
 
“Justeru, kemahiran menguruskan data dari pelbagai sumber juga amatlah penting bagi memastikan kelestarian sektor kejuruteraan dan teknologi di Malaysia seterusnya menyokong pembangunan negara,” katanya. 
 
Sementara itu, bagi Dekan Pusat Sains Matematik (PSM), Profesor Dr. Mohd Zuki Salleh berkata, UMPSA menawarkan dua mod pengajian iaitu Mod Kerja Kursus dan Industri (2u2i) dan kedua-duanya melibatkan tempoh pengajian selama tujuh semester. 

“Bagi Mod Kerja Kursus, pelajar akan menjalani Latihan Industri pada Semester 7 manakala bagi Mod Industri (2u2i), pelajar akan menjalani Pembelajaran Berasaskan Kerja, Work Based Learning (WBL) melalui struktur Block Release pada Semester 6 dan 7.
 
“Selain itu, pelajar WBL turut dilatih oleh Jurulatih Industri, Industry Coach (IC) yang ditugaskan untuk penilaian praktikal pelajar.

“Mod industri (2u2i) ini juga melatih pelajar melalui pembelajaran melalui pengalaman atau experiential learning dalam persekitaran industri, aplikasi praktikal dengan kajian kes sebenar di industri dan penggunaan peralatan serta perisian sains data terkini yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan.
 
“UMPSA menyediakan pendidikan berkualiti yang sukatan pelajarannya dirujuk dan dibandingkan dengan universiti tempatan dan antarabangsa,” katanya. 

Pihaknya turut memilih kursus terbaik dan paling penting yang berkaitan dengan pengetahuan dan kemahiran Sains Data dan Analitik untuk membolehkan graduan cemerlang dalam sektor industri dan perkhidmatan.
 
Begitu juga dengan sukatan pembelajaran juga dibangunkan dengan mengambil kira maklum balas daripada pihak berkepentingan seperti rakan kongsi industri dan panel penasihat industri agar pelajar dapat didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran berasaskan dunia industri sebenar.
 
Para pelajar juga akan didedahkan dengan pengetahuan analisis yang lebih mendalam menggunakan alat pengurusan data dan analitik terkini seperti R, Python, Tableau, RapidMiner dan Knime.
 
Hingga kini, seramai 22 graduan yang telah bergraduat manakala jumlah pelajar aktif mencatatkan seramai 234 orang pelajar.

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
ainaa adhreena