Skip to main content
Farhana Saintis Alam Sekitar penerima  Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

Farhana Saintis Alam Sekitar penerima  Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

KUANTAN, 6 Ogos 2022 - Farhana Munirah Zainuri anak kepada pasangan Zainuri Mohd Shafar, 51 dan Zainatunakmar Abdul Manap, 49 merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik mendapat sijil anugerah dekan setiap semester dan berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Tenaga dan Persekitaran) dengan Kepujian di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan PNGK 3.82.

Kejayaan ini telah melayakkan beliau terpilih sebagai Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-16.

“Latihan industri yang dijalani selama enam bulan di Ardhmillenia Sdn. Bhd. telah menarik minat saya untuk membangunkan karier saya dalam bidang pengurusan alam sekitar.

“Saya mula melihat peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan dan yang saya boleh sertai,” katanya.

Beliau bersyukur hari ini kerana cita-citanya tercapai apabila berkhidmat sebagai saintis alam sekitar di syarikat yang sama.

Farhana Saintis Alam Sekitar penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

Farhana menerima anugerah daripada Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor pada hari pertama Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-16 di UMP Gambang.

Sejak kecil lagi, beliau banyak menghabiskan masa dengan membaca buku dari pelbagai genre bagi menambah pengetahuan tentang pelbagai perkara.

Beliau dilahirkan di Kuala Lumpur pada 20 Januari 1998 dan kini menetap di Puchong, Selangor.

Beliau merupakan seorang pelajar yang aktif dalam pelbagai aktiviti persatuan seperti menjadi setiausaha Persatuan Mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan (PROTECH), pengarah program Aspirasi MyGift UMP 2019 dan ahli jawatankuasa ‘Hulurkan Tangan Ringankan Beban’ bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Di samping itu, Farhana juga terlibat dalam aktiviti sukan dan pernah mewakili fakulti dalam acara boling bagi pertandingan SUKFAC 2019.

Sebagai graduan UMP, beliau berpendapat UMP telah menyediakan kemudahan yang lengkap, baik dari segi penginapan, kafeteria, tempat dan alatan pembelajaran yang mencukupi yang dapat membantu memudahkan urusan seharian pelajar.

Farhana juga berasa gembira dengan suasana kampus UMP yang hijau dan moden yang dapat menimbulkan suasana yang tenang dan kondusif untuk pelajar fokus ketika menuntut ilmu.

Selain itu, graduan cemerlang ini juga berbangga dengan tenaga pengajar di UMP yang datang daripada pelbagai bidang sama ada dari dalam atau luar negara serta tidak pernah jemu memberi ilmu dan tunjuk ajar kepada pelajar.

Beliau juga menambah, antara nilai unik UMP ialah selalu menambah baik silibus pembelajaran dari segi teori dan kemahiran teknikal sesuai dengan kehendak industri pada masa kini.

“Para tenaga pengajar bukan sahaja menekankan akademik, tetapi juga menerapkan disiplin yang tinggi kepada graduan supaya dapat mengaplikasikan ilmu dengan sebaik mungkin apabila menempuh alam pekerjaan,” katanya.

“Sepanjang pengajian di UMP, saya amat menikmati setiap detik pengalaman sebagai pelajar dan antara pengalaman yang tersemat dalam hati saya adalah apabila berpeluang untuk terlibat dengan aktiviti sukarelawan CSR MTUN Benevolence Assistance Malaysia-Thailand bersama persatuan PROTECH di Songkhla, Thailand.

“Antara aktiviti-aktiviti yang dilakukan adalah mengajar kanak-kanak, mengecat bangunan dan memasak bersama penduduk kampung,” katanya.

Tambahnya lagi, program tersebut telah berjaya memupuk nilai bersyukur dengan apa yang ada, juga sifat ihsan dan kasih sayang sesama manusia.

Farhana Saintis Alam Sekitar penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

“Saya menganggap keluarga sebagai penyumbang terbesar terhadap kejayaan saya terutama sokongan yang diberikan dari segi kewangan dan motivasi.

“Selain itu, para pensyarah dan rakan-rakan juga banyak membantu dan tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar membantu saya apabila diperlukan.

“Antara tugasan yang diamanahkan adalah menjadi person in charge (PIC) bagi sebuah projek tambak di Melaka dengan menjalankan kajian impak alam sekitar (EIA) dan menulis laporan EIA.

“Ia bertujuan menentukan potensi pembangunan yang dicadangkan terhadap alam sekitar, sosial dan kesihatan,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan tugasan ini memerlukan komitmen yang tinggi kerana sering terlibat dengan lawatan tapak di seluruh negara.

Beliau juga berbangga kerana tugasan yang dilaksanakan adalah seiring dengan pengajian ilmu yang dipelajari di UMP dalam bidang teknologi kejuruteraan tenaga dan persekitaran.

Melalui pekerjaan ini, beliau berharap dapat mengaplikasikan ilmu dan kemahiran teknikal yang telah dipelajari di UMP dengan memberikan sumbangan idea dan kepakaran kepada masyarakat terutamanya berkaitan dengan kelestarian alam sekitar.

 
Oleh: Halizan Mohmood, Pusat Keusahawanan dan Nur Hartini Mohd Hatta, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Admin UMP News