Skip to main content
 Kanser tidak halang Amira raih kejayaan penerima Anugerah Emas Universiti

Kanser tidak halang Amira raih kejayaan penerima Anugerah Emas Universiti

PAYA BESAR, 6 Ogos 2022 –  Diuji apabila disahkan menghidap Kanser Tisu Otot atau Rhabdomyosarcoma pada semester awal pengajian membuatkan Amira Abdul Talib, 29 merasakan ia telah menambah beban buat keluarga.
 
“Keluarga saya bukanlah dari kalangan yang senang dan boleh diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
 
“Matlamat utama saya untuk melanjutkan pengajian ialah ingin belajar dan mencari kerja untuk membantu keluarga saya. 

 Kanser tidak halang Amira raih kejayaan penerima Anugerah Emas Universiti

“Bila saya diuji dgn ujian ini, demi Allah SWT saya betul-betul tak kuat,” katanya.
 
Namun kini, permata hati bagi pasangan Abdul Talib Mohd Nor dan Lijah Ibrahim boleh tersenyum bangga apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Emas Universiti dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-16 pada sesi pertama baru-baru ini yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang.
 
Meskipun terpaksa menangguhkan pengajian sebanyak tiga semester untuk menjalani pembedahan dan kimoterapi, Amira tetap bangkit berjuang demi keluarga tercinta.

 Kanser tidak halang Amira raih kejayaan penerima Anugerah Emas Universiti

Tambahnya, sekembalinya beliau ke UMP, beliau telah menyertai Sekretariat Generasi Siswa Sihat (GENESIS) yang memfokuskan kesihatan dari pelbagai aspek.
 
“Antara program yang saya kendalikan yang begitu dekat dengan diri saya ialah Program Hari Kanser Sedunia yang turut disertai Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
 
“Saya memilih GENESIS utk bergiat aktif dalam kokurikulum kerana saya dapat rasakan GENESIS adalah medan terbaik untuk saya bawa diri saya sebagai Cancer Survivor,” katanya.
 
Hasrat beliau hanya satu untuk hebahkan kepada orang ramai agar ambil tahu dan cakna mengenai kanser. 

Selain itu juga beliau ingin membuktikan bahawa kanser bukan penamat kehidupan dan setiap ujian yang Allah SWT berikan adalah anugerah buat kita.
 
Ujarnya, UMP banyak membantunya terutamanya dari segi kewangan dan kemudahan.
 
Beliau sangat bertuah kerana dipertemukan dengan rakan-rakan yang baik sepanjang belajar di UMP. 

Malah, beliau juga bersyukur apabila berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), 3.70.
 
Penerima Biasiswa Majlis Kanser Nasional (MAKNA), juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan yang dimiliki bersama rakan-rakan yang lain.
 
“Saya dapat merasakan kepuasan yang luar biasa jika saya berkongsi atau mengajar rakan-rakan yang lain.

“Saya bertambah gembira jika mereka faham apa yang saya ajarkan. 

“Amalan ini telah saya amalkan dari zaman diploma lagi,” ujar beliau.
 
Ditanya apakah harapan dan hasrat beliau pada masa hadapan, Amira mengharapkan dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus berbakti kepada keluarga.
 
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian ini kini berkhidmat di Emerson Process Management sebagai Master Production Scheduler.
 
 
Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim