Skip to main content

Muhammad Akmal graduan yatim piatu hadiahkan kejayaan buat keluarga

GAMBANG, 22 Oktober 2023 - Tatkala graduan yang lain meraikan hari konvokesyen mereka bersama ibu bapa tercinta,  namun tidak bagi Muhammad Akmal Hakim Mohd.Darus, 24, yang hanya melihat kegembiraan itu dengan perasaan hiba. 

Muhammad Akmal kehilangan kedua ibu bapanya ketika masih bersekolah.  

Bapanya, Mohd. Darus Mohamad telah pergi menghadap Ilahi ketika dirinya 14 tahun manakala ibunya pula Siti Nor Daud meninggalkannya setahun kemudian iaitu ketika beliau berusia 15 tahun. 

“Kedua ibu bapa  meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis, darah tinggi dan jantung.  

“Saya merupakan anak bongsu daripada tujuh orang adik-beradik.  

“Sebagai anak bongsu, sudah tentu saya agak rapat dengan arwah kedua ibu bapa dan kehilangan mereka juga memberi kesan yang mendalam kepada saya,” katanya.  

Bagaimanapun katanya, beliau amat bersyukur kerana kakak dan abang sudi menjaga dan memelihara saya sehingga dewasa.  

“Walaupun mereka turut mempunyai komitmen bekeluarga namun kebajikan dan perhatian kepada saya tidak pernah diabaikan.  

“Justeru, kejayaan  pada hari ini saya dedikasikan kepada semua ahli keluarga saya dan saya amat berterima kasih kepada mereka atas dokongan serta kasih sayang yang dicurahkan, saya berjaya menamatkan pengajian di menara gading,” katanya yang ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-18 Sesi Ketiga, di sini, semalam. 

Muhammad Akmal yang kini bekerja sebagai pengurus projek di sebuah syarikat di Cyberjaya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Teknologi Infrastruktur dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam  (FTKA) dengan meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.72. 

Beliau juga amat bersyukur kerana sepanjang pengajiannya di UMPSA, beliau mendapat tajaan sepenuhnya daripada Jabatan Pertanian Awam (JPA).  

Katanya, pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh ketika belajar di universiti ini akan diterapkan di alam pekerjaan. 

“Walaupun saya amat berharap dapat berkongsi kejayaan ini bersama kedua arwah ibu bapa, namun saya redha dengan ketentuan ini dan percaya hasil kejayaan ini adalah daripada doa mereka kepada saya dahulu,” katanya. 

Disediakan oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMPSA 

Reports by:
Admin UMP News