Skip to main content
Nor Afifah anak profesor UMP rangkul Anugerah Naib Canselor

Nor Afifah anak profesor UMP rangkul Anugerah Naib Canselor

PAYA BESAR, 6 Ogos 2022 - Anak pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dr. Abdullah Ibrahim iaitu Nor Afifah Abdullah, 24  berjaya merangkul Anugerah Naib Canselor dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-16 yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang.
 
Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Tenaga dan Persekitaran) dengan Kepujian ini menerima anugerah yang disampaikan Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dalam sesi pertama.
 
Ibu beliau, Rohani Ibrahim merupakan seorang suri rumah yang menjadi sosok penting kehidupannya yang sentiasa menjaga keperluan beliau dan keluarga tercinta. 

Nor Afifah anak bongsu daripada dua orang adik-beradik ini aktif semasa di universiti.

Nor Afifah anak profesor UMP rangkul Anugerah Naib Canselor

Antara kejayaan terbesar yang tidak dapat beliau lupakan apabila beliau menjuarai pingat emas bagi Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) 2021 dan Best Invention in Fluids Award CITREX 2021 bagi invensi bertajuk ‘Platinum Titanium Nanotube for Conversion of CO2 to CH4’.

 Ia merupakan satu kejayaan terbesar beliau bagi penilaian projek Final Year Project (FYP) yang dikendalikan beliau saat dunia dilanda pandemik COVID-19.
 
Beliau juga aktif dalam kelab fakulti PROTECH. 

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Penolong Pengarah bagi FTeK Final Year Project Poster Exhibition. 

Selain daripada bahasa Melayu, beliau juga fasih berbahasa Inggeris dan Mandarin.
 
Bukan sahaja berjaya dalam pelajaran, beliau juga seorang graduan yang aktif di universiti dengan menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum antaranya menyertai persembahan kebudayaan dan terlibat dengan aktiviti dari kelab-kelab fakulti. 

Beliau menonjolkan diri sebagai seorang pemimpin apabila memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi bagi Kumpulan Tari UMP (Kencana Pawana).
 
Katanya, semasa membuat persembahan pembukaan di majlis rasmi UMP bersama Pemangku Raja Pahang merupakan pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan. 

“Saya juga menyertai kawan-kawan mengadakan persembahan pembukaan bagi majlis-majlis rasmi UMP,” katanya.
 
Beliau turut melibatkan diri pada peringkat antarabangsa dengan mewakili kumpulan pelajar Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam CSR MTUN Benevolence Assistance Malaysia-Thailand. 

Selain itu, beliau turut melibatkan diri dalam aktiviti bersama komuniti seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Sekolah Kebangsaan Serandu, Pekan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.  
 
Semasa menuntut di UMP, beliau tidak merasa sebarang kesulitan sepanjang pengajian kerana pada pendapat beliau UMP mempunyai kemudahan yang lengkap untuk menimba ilmu termasuklah mempunyai persekitaran kampus yang sangat kondusif dan tenteram.
 
Menurutnya, kelengkapan kemudahan di makmal penyelidikan memberi peluang dan ruang kepada para mahasiswa untuk melakukan penyelidikan kendiri dengan lebih efisien. 

“UMP juga turut menyediakan kepelbagaian dalam tempat rekreasi di kedua-dua buah kampus di Gambang dan Pekan bagi memenuhi keperluan jasmani pelajar.
 
“Penyumbang terbesar kejayaannya pada hari ini adalah keluarga tercinta yang menyokong sepanjang pengajian saya di UMP. 

“Saya  juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh tenaga pengajar yang tanpa penat lelah mengajar dan mendidik serta memberikan dorongan kepadanya sepanjang di UMP. 

“Juga tidak dilupakan kepada tenaga pengajar UMP yang secara tidak langsung terlibat dalam kejayaan sesuatu majlis dan program yang saya uruskan,” katanya.

Beliau berpendapat dengan melibatkan diri dalam program-program yang dianjurkan universiti, ia dapat mengasah dan memberi peluang untuk menggilap nilai dan bakat terpendam dalam diri para pelajar.
 
Turut membanggakan, beliau kini berkecimpung dalam bidang solar, rentetan daripada penetapan latihan industri selama enam bulan di syarikat ERS Energy Sdn. Bhd. pada semester akhir. 

Tamat sahaja latihan industri, beliau telah ditawarkan bekerja di syarikat yang sama sebagai Jurutera Jaminan Kualiti atau Kawalan Kualiti (QA/QC). 

ERS Energy merupakan syarikat yang memfokuskan Engineering, Procurement, Construction and Commissioning dengan pengalaman lebih sepuluh tahun dalam bidang solar di Malaysia, Filipina, Vietnam dan Singapura sejak tahun 2009. 

Konsep sistem solar bukan perkara asing buat beliau kerana beliau telah didedahkan semasa belajar di UMP.
 
Semoga beliau akan terus komited dan proaktif dengan menebarkan sayap dalam industri solar dan tenaga boleh baharu yang semakin pesat di Malaysia. 

Sebagai seorang jurutera yang mampu memberi hasil kerja yang cemerlang walaupun bawah tekanan, beliau mengimpikan pembangunan industri dan penambahbaikan sistem alam sekitar yang progresif pada era globalisasi ini. 

Nor Afifah anak profesor UMP rangkul Anugerah Naib Canselor

Disediakan oleh: Nurul Ateeqah Othman, Bahagian Perundangan dan Nur Hartini Mohd Hatta, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News